BTS Media

Angka korban gempa Maghribi cecah 296 mangsa

RABAT: Jumlah korban gempa bumi kuat yang melanda Maghribi, lewat malam tadi, kini melonjak kepada sekurang-kurang 296 mangsa, manakala ramai lagi dilaporkan mengalami kecederaan dan penduduk di kawasan terkesan bergegas menyelamatkan diri dalam keadaan panik.

Pusat Geofizik Maghribi memaklumkan gempa berlaku sejurus selepas jam 11 malam itu berukuran 7.2 magnitud yang menggegarkan Ighil di Pergunungan Atlas. Ighil merupakan kawasan perkampungan pertanian kecil yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) barat daya bandar Marrakech.

Bagaimanapun, agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan gempa itu berukuran 6.8 magnitud pada kedalaman 18.5km.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Maghribi, perangkaan awal merekodkan hampir 300 kematian dan 153 mangsa lagi mengalami kecederaan.

Sambil meminta orang ramai supaya kekal bertenang, kementerian itu memaklumkan bahawa gempa itu turut menggegarkan wilayah Al Haouz, Ouarzazate, Marrakech, Azilal, Chichaoua dan Taroudant.

Pegawai tempatan pula berkata, kebanyakan mangsa maut berada di kawasan pergunungan yang sukar diakses.

Penduduk Marrakech yang terletak paling hampir dengan pusat gempa itu, berkata beberapa bangunan turut runtuh di bandar berkenaan yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Siaran stesen televisyen tempatan menunjukkan sebuah menara masjid tumbang dan kenderaan dihempap sisa runtuhan.

Saluran berita Pan-Arab al-Arabiya yang memetik sumber tempatan melaporkan lima mangsa sekeluarga merupakan antara terkorban dalam bencana dahsyat itu.

Montasir Itri yang tinggal di perkampungan Asni terletak di kawasan pergunungan, berkata kebanyakan rumah musnah akibat gegaran kuat berkenaan.

“Jiran kami terperangkap bawah runtuhan, dan usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Guru, Hamid Afkar yang tinggal berhampiran Taroudant, berkata beberapa gempa susulan berlaku selepas gegaran pertama.

“Gegaran terasa selama kira-kira 20 saat. Pintu di dalam rumah terhempas buka dan tutup sendiri ketika saya berlari turun ke tingkat dua untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Gempa bumi kali ini adalah yang paling berdarah selepas bencana sama melanda Al Hoceima di pergunungan Rif yang meragut lebih 600 nyawa pada 2004.

– REUTERS

Leave a Comment