GAMBAR: Bernama
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan jenazah mangsa nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam hanya boleh ‘dikeluarkan’ dari hospital seawal Isnin ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Tan Sri Razarudin Husain yang berkata terdapat sekitar 200 cebisan badan ditemui di lokasi nahas itu.
Beliau berkata, cebisan mayat itu juga akan dihantar ke jabatan kimia untuk tindakan selanjutnya sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
“Pihak berkuasa menemui sejumlah 22 anggota badan yang terdiri daripada bahagian badan, kepala, kaki dan lengan.
“Cebisan iaitu ‘human remains’ atau HR1 hingga 14 adalah cebisan anggota yang besar manakala HR15 dan seterusnya ialah cebisan yang besar.
“Unit forensik akan membuat ujian selepas itu ia akan dihantar ke Pejabat Kimia yang akan melakukan proses pengecaman. Proses itu bukan hanya membabitkan DNA waris tetapi pengecaman kepada mangsa juga.
“Jadi prosesnya akan berlangsung dalam tempoh yang agak lama iaitu berkemungkinan seawal Isnin. Ia mungkin berlarutan dari tempoh itu,” katanya dalam taklimat ringkas kepada waris di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Dalam pada itu, Razarudin Husain menasihati waris dan keluarga nahas untuk pulang menenangkan diri di kediaman dan rumah penginapan masing-masing.
Ini kerana proses menuntut jenazah mangsa tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat ini, sebaliknya seawal Isnin ini.
Cuaca panas di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) juga mungkin menjejaskan kesihatan keluarga yang menunggu.
Beliau berkata, waris juga tidak perlu bimbang dengan proses menuntut ahli keluarga mereka kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM), HTAR dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya.
“Tidak perlulah waris menunggu kerana apabila selesai (ujian forensik/kimia) kita akan telefon waris-waris berkenaan. Kita juga sudah mendapatkan kira-kita 22 nombor telefon waris yang ada.
“Tunggulah di rumah masing-masing atau hotel terdekat berbanding anda berpanas dan menjejaskan kesihatan di sini. Proses ini hanya selesai seawal Isnin ini,” katanya.
Beliau turut meminta waris untuk memahami keadaan semasa termasuk kesukaran untuk membuat pengecaman disebabkan keadaan jenazah yang tidak sempurna.
Selain itu, beliau juga mengatakan, JAIS menyatakan tanggung jawab sepenuhnya untuk menguruskan jenazah mangsa manakala PDRM akan mengiringi kepulangan jenazah berkenaan sehingga ke kampung halaman masing-masing.