Oleh Yusoff A. Shariff
PERDANA menteri dan menteri kabinetnya perlu mengelak daripada menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen politik mereka.
Mereka perlu membayar kos tambahan yang ditanggung jika menggunakan mana-mana kemudahan semasa tempoh pilihan raya.
Jawatankuasa pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata adalah lebih baik diasingkan tugas kerajaan dan aktiviti berkempen untuk parti politik dan calon.
Jawatankuasa itu berkata demikian selepas mendapati Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan helikopter untuk ke kawasan FELDA di Kedah.
Menurut BERSIH, penggunaan jentera kerajaan untuk aktiviti kempen adalah munasabah atas pertimbangan pragmatik dan keselamatan jika berlaku selepas perjalanan tugas kerajaan.
“Namun, perdana menteri dan menteri-menteri wajib mengelakkan daripada mencampuradukkan tugasan kerajaan dan aktiviti kempen.
“Untuk sebarang pengumuman dasar dan peruntukan, prinsip ‘Tiada 3C’ (tiada kempen, tiada syarat atas pemberian, tiada calon di pentas) mesti dipatuhi dengan tegas,” katanya lagi.
“Bagi perjalanan tambahan untuk berkempen selepas tugasan kerajaan, perdana menteri dan menteri-menteri juga perlu membayar secara pro-rata kos berlebihan seperti minyak helikopter atau kenderaan. Demi prinsip amanah, kos-kos ini hendaklah diisytiharkan secara terbuka untuk pemantauan orang awam,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun menyedari ia tidak boleh menghalang ahli politik daripada menggunakan jentera kerajaan, jawatankuasa itu berkata ahli politik harus sentiasa merendah diri dan tidak menunjuk-nunjuk seolah-olah mereka telah memperoleh kemudahan menggunakan wang dari poket mereka sendiri.
“Sikap angkuh dan bongkak seperti yang ditunjukkan oleh perdana menteri mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya lagi.
Keadaan itu, katanya, memerlukan kerajaan persekutuan mempercepatkan perbincangan dan rundingan dengan pembangkang untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengawal keputusan, tindakan dan penggunaan sumber kerajaan oleh kerajaan sementara dan bukan kerajaan sementara dalam tempoh pilihan raya.
“Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya.
Terdahulu, Anwar mempertahankan penggunaan helikopter sebagai pengangkutannya dengan berkata beliau mempunyai hak sebagai perdana menteri.
Beliau berkata,”Itu milik kerajaan. Hang (kamu dalam bahasa Kedah) tak boleh guna, Perdana Menteri boleh,” katanya dipetik ketika berucap pada majlis Segalanya Felda yang diadakan di Felda Teloi Timur semalam.
-BTS Media