BTS Media

‘Prinsip asal perjuangan UMNO sudah dikorbankan’ – kata Muhyiddin

TAMPIN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan perjuangan UMNO ketika ini sudah lari daripada prinsip asal dan tidak lagi seperti sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO ketika ini sudah rosak yang dilakukan oleh segelintir pemimpin parti itu kerana kepentingan diri sendiri.

Katanya, ia susulan tindakan UMNO yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang mengandungi DAP.

“Zaman berzaman sejak saya jadi ahli UMNO dulu, jangan sebut DAP..pantang, memang tak sebulu, bukan parti yang harus didukung oleh orang Melayu.

“Saya bukan nak cakap soal perkauman, kerana saya tahu, perjuangan mereka (DAP) tidak menggambarkan dia memahami hasrat dan cita-cita orang Melayu dan sebab itu sejak dahulu lagi UMNO tidak boleh bersepakat langsung dengan DAP. Malah bertentangan, dia (DAP) sebelah sana, UMNO di sini, tapi macam mana hari ini dah berbeza.

“Ahli UMNO jangan fikir UMNO macam dahulu, UMNO sekarang sudah rosak, koyak rabak, prinsip asal perjuangan UMNO sudah tidak ada lagi, dikorbankan..,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Parlimen Tampin di Felda Jelai, Gemas, dekat sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertuduhan di mahkamah akibat salah laku, rasuah dan sudah dibicarakan.

“Jadi mungkin disebabkan pertuduhan itu, dia (Ahmad Zahid) nak cari jalan macam mana kalau-kalau boleh tolong dia. Masa saya jadi perdana menteri dulu, dia pun jumpa saya, bawa fail..minta tolong kes dia yang dihadapinya, tapi sebagai perdana menteri, saya pegang amanah rakyat, tak boleh terima kalau seseorang itu hadapi pertuduhan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya menolak rasuah tapi dalam masa sama melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dilihat seolah-olah bercakap tidak serupa bikin.

“Kalau dia (perdana menteri) menunjukkan menentang rasuah, dia mesti tolak Zahid Hamidi berada dalam kerajaan, tapi kalau tolak Zahid, dia (Anwar) tak boleh jadi perdana menteri.

“Disebabkan Zahid ada masalah peribadi, Anwar dah lama nak jadi perdana menteri dan dua-dua ini ada tujuan yang tersendiri, maka soal ideologi, perjuangan bangsa, agama, negara..porah (diketepikan), yang penting nafsu, yang penting diri sendiri. Sehingga terkorban dan dikorbankan sebuah pertubuhan politik yang asalnya berjuang untuk orang Melayu, kini hancur,” katanya

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1135222/prinsip-asal-perjuangan-umno-sudah-dikorbankan-kata-muhyiddinAC

Leave a Comment