BTS Media

PRN Terengganu: Polis terima satu laporan video memfitnah PAS

KUALA TERENGGANU: Polis menerima satu laporan berhubung satu video berbaur fitnah terhadap parti PAS pada hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Ketua Urus setia PRN Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Noor Halim Nordin, berkata laporan yang dibuat di Balai Polis Paka itu diterima semalam.

Beliau berkata, laporan itu dibuat seorang pengadu yang tidak berpuas hati tentang satu video berbaur fitnah terhadap parti PAS dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Pada hari kedua tempoh berkenaan diadakan, polis mendapati sebanyak 30 aktiviti ceramah diadakan seluruh Terengganu dengan semuanya mendapat kelulusan.

“Daripada jumlah itu, 24 kempen diadakan oleh Perikatan Nasional (PN), manakala enam lagi kempen daripada BN,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Noor Halim berkata, calon dan parti-parti bertanding boleh membuat permohonan permit untuk mengadakan ceramah melalui ibu pejabat polis daerah di kawasan yang ditandingi dan semua pihak perlu mematuhi syarat yang ditetapkan apabila kelulusan diberikan.

Beliau turut menasihatkan semua pihak untuk mengadakan kempen secara sopan dan berhemah bagi mengelak perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam di Terengganu.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2023/07/1133863/prn-terengganu-polis-terima-satu-laporan

Leave a Comment