ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, malam ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal, meninggal dunia pada pukul 9.23 malam, ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.
Ia diumumkan oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi Facebook.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub, telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.
Salahuddin yang juga Timbalan Presiden AMANAH, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB, pada pukul 10.15 malam Jumaat lalu, untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar kemudiannya mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak.
Beliau kemudian menjalani pembedahan pada pagi Sabtu, sebelum ditidurkan di bawah pengawasan rapi pakar pembedahan dan perubatan HSB.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohamad Sanusi Md Nor, turut menziarahi jenazah Allahyarham di HSB malam ini, sejurus menerima perkhabaran mengenai pemergian Salahuddin.
Terdahulu, Dr Zaliha berkata, pembedahan yang dilalui oleh Salahuddin semalam berjaya tetapi beliau masih berada di bawah pemantauan pakar dalam ICU.
Salahuddin meninggalkan seorang balu iaitu Fatimah Taha bersama enam anak.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar Salahuddin, Syakirin Husnal, dalam kenyataannya, berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek) dekat Tanjung Piai.
“Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1130508/salahuddin-ayub-meninggal-dunia-di-hsb