GAMBAR ATAS: Harian Metro.
SEREMBAN: Selepas menghidap penyakit angin ahmar, pelakon veteran yang terkenal dengan watak ‘mat saleh’, Johan Abdullah kini diuji dengan masalah jantung.
Isterinya, Sarepah Mariam Aboo, 50, berkata, suaminya akan dimasukkan di Hospital Serdang melakukan pemeriksaan jantung pada 31 Julai ini.
“Suami disahkan menghadapi masalah jantung apabila pemeriksaan kesihatan mendapatinya kerap berpeluh biarpun keadaan badan sejuk pada 28 April lalu.
“Paling saya bimbang, suami kerap jatuh dalam bilik air akibat kondisi tubuh yang masih belum stabil akibat angin ahmar sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya sewanya di Taman Mantau Indah, di sini.
Katanya, semangat suaminya agak kuat, malah rajin membantu kerja rumah walaupun keadaan tidak stabil dan kadangkala perlu dibantu.
“Suami kerap jatuh dan saya pula ada masalah tulang belakang atau ‘slip disc’ dan ‘tyrod’, jadi menyukarkan membantunya bangun bila terjatuh.
“Sekarang suami kelihatan kurus akibat tiada selera makan. Suami hanya makan pasta atau roti sahaja setiap hari, nasi amat jarang disentuh,” katanya kepada BH Online.
Sarepah berkata, buat masa ini, mereka hanya bergantung sumbangan bulanan sebanyak RM565 sebulan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
“Dengan duit itulah kami belanja makan dan sekolah anak, Abdullah Musa Johan, 12, dan Orchid Raihani Johan, 7, termasuk kos van sekolah.
“Kalau nak kira pastinya tidak cukup, namun kami bersyukur Allah permudahkan segala-gala urusan kami sekeluarga. Nasib baik bayaran sewa rumah RM500 dan bil utiliti anak-anak yang bayar,” katanya.
Sementara itu, Johan berkata, dia amat berharap agar anaknya, Musa dapat belajar di sekolah tahfiz.
“Alhamdulillah, peperiksaan kelas agama Musa dapat 6A 2B, tahun lalu. Dia berminat mahu menyambung pendidikan di sekolah tahfiz.
“Saya berharap impiannya tercapai dan saya nampak Musa komited belajar agama kerana impiannya mahu menjadi guru agama,” katanya.
Katanya, dia baru sahaja menerima surat taraf warga negara Malaysia yang sudah lama dipohon sejak menetap di Malaysia kira-kira 50 tahun lalu.
“Taraf warga negara Malaysia yang sudah lama dipohon, baru sekarang saya terima. Selepas hampir 50 tahun barulah kecapi impian jadi rakyat Malaysia.
“Cuma, saya berharap ada anak-anak dapat balik dan membawa saya ke Putrajaya bagi menyelesaikan dokumen penting bagi mengesahkan saya sebagai rakyat Malaysia.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menerima saya,” katanya yang berpindah ke Malaysia pada 1974.