BTS Media

Perbelanjaan isi rumah 2023 bakal meningkat 5%

Oleh Zainal AS Rashid

SYARIKAT Fitch Solutions, meramalkan perbelanjaan isi rumah Malaysia akan meningkat sebanyak 5% tahun ke tahun (y-o-y) pada 2023 dan akan meneruskan pertumbuhan stabil menjelang 2024 apabila pemulihan ekonomi menjana pertumbuhan perbelanjaan pengguna sebenar yang kukuh.

Berdasarkan satu laporan penyelidikan, pengurangan tekanan inflasi dan pengurangan kadar pengangguran akan membentuk asas bagi prospek perbelanjaan pengguna yang stabil, lapor The Star.

“Risiko kepada unjuran ini ialah inflasi lebih tinggi daripada jangkaan dan kelemahan ekonomi lebih agresif yang akan membebani kuasa beli isi rumah,” katanya.

Ia berkata perbelanjaan isi rumah sebenar sepanjang 2024 akan berkembang sebanyak 5% tahun ke tahun kepada sejumlah RM910bil berdasarkan harga 2010.

Tahap keyakinan pengguna yang sebahagian besarnya stabil, dan mencerminkan minda positif pengguna walaupun tekanan inflasi terhadap komoditi tertentu, seperti makanan dan bahan api membebani isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagi ringgit pula, BMI (juga sebuah syarikat Fitch Solutions) menjangka ia meningkat berbanding dolar AS, mengukuh daripada 4.50 pada 2023 kepada 4.40 pada 2024.

“Malaysia akan terus bergantung kepada import dalam menampung permintaan tempatan yang memberi kesan lebih besar kepada pertumbuhan perbelanjaan pengguna apabila import lebih murah.

“Kami yakin persekitaran ini akan menjadikan perbelanjaan pengguna bagi separuh kedua 2023 dan awal 2024 kekal stabil,” katanya.

BMI turut mengunjurkan bahawa tekanan inflasi kekal tinggi di kebanyakan pasaran lain dengan kadar perubahan harga yang walaupun lemah, namun kekal tinggi daripada sasaran bank-bank pusat.

“Dibandingkan dengan pasaran lain, inflasi di Malaysia agak terkawal iaitu mencecah kemuncak 4.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022 manakala data terkini bagi Mei 2023 di paras 2.8 peratus tahun ke tahun, angka terendah sejak Mei 2022 walaupun ini lebih tinggi daripada kebiasaan isi rumah Malaysia.

BMI mengunjurkan aliran inflasi ini akan lebih menurun pada separuh kedua 2023 dengan mengakhiri tahun itu pada tahap 2.5 peratus serta mencecah purata 2.3 peratus pasca 2024.

-BTS Media

Leave a Comment