ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas selesai menghadap Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.
Muhammad Sanusi menghadap Sultan Sallehuddin bagi mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN itu selama lebih satu jam bermula jam 10.30 pagi.
Sebelum itu, Muhammad Sanusi tiba kira-kira jam 10.22 pagi untuk menghadap Sultan Sallehuddin bagi mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN pada Rabu ini.
Ia disusuli keberangkatan tiba Sultan Sallehuddin kira-kira jam 10.26 pagi di pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.
Enam negeri akan melaksanakan PRN pada tahun ini termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Untuk rekod, Pas memiliki kerusi DUN tertinggi dengan 14 kerusi, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan enam kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan lima kerusi, Amanah dengan tiga kerusi manakala UMNO, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), DAP masing-masing dengan dua kerusi di Kedah.
Dua kerusi kosong iaitu Gurun berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul melepaskan jawatannya, manakala Belantek akibat kematian Belantek Datuk Mohd Isa Shafie akibat masalah kesihatan pada 14 Jun lepas.
Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/265233/berita/politik/prn-dun-kedah-dibubar-rabu-ini