Oleh Fetty Rara
BEKAS Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong telah menimbulkan kebimbangan mengenai ketiadaan ciri keselamatan penting pada Perodua Axia E 2023 terbaharu.
Axia E baharu kini merupakan kereta termurah di Malaysia pada harga RM22,000 (tanpa insurans) dan ia antara lain bertujuan memberikan peluang kepada pemilik motosikal memiliki kereta yang boleh membawa sehingga 5 penumpang.
Wee menyambut baik inisiatif syarikat pengeluar kereta berkenaan yang mengambil kira faktor kemampuan pembeli, lapor Malay Mail.
Bagaimana pun, beliau berkata pihak pengeluar tidak patut berkompromi terhadap ciri-ciri bagi menjaga keselamatan pemandu dan penumpang.
Beliau merujuk kepada spesifikasi seperti Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang tidak dipasang hanya untuk menurunkan harga kenderaan ke tahap “Rahmah”.
Sambil mengakui bahawa isi rumah berpendapatan rendah menghadapi masalah kewangan, beliau berkata kerajaan harus mengikhtiarkan beberapa cara lain untuk membantu mereka tanpa perlu mengurangkan ciri-ciri keselamatan.
Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa ESC dan teknologi “anti-gelincir” lain boleh mengurangkan 40 peratus risiko kematian jika berlaku perlanggaran akibat kehilangan kawalan kenderaan.
Beliau berkata teknologi ABS dan ESC yang sudah lama wujud terbukti mampu mengurangkan kemalangan, apatah sekarang ini kos ciri-ciri tersebut tidak lagi mahal.
Menurut Wee lagi, semua kereta baharu sepatutnya dilengkapi ESC sebagai standard berkuat kuasa 1 Jun 2018 seperti yang diumumkan oleh bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai.
Bagaimanapun, ini hanya terpakai kepada kenderaan baharu yang diperkenalkan ke pasaran.
Perodua, pada 2016 berkata syarikat itu tidak akan dapat memasang ESC pada model sedia ada.
-BTS Media