GAMBAR ATAS: NST.
Oleh Zainal AS Rashid
MAHKAMAH Rayuan pagi ini telah membenarkan permohonan Rosmah Mansor mendapatkan sementara pasportnya untuk melawat anaknya Nooryana Najwa Najib dan keluarganya di Singapura.
Permohonan itu, yang difailkan secara usul pada 2 Jun lalu, dibenarkan oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Ravinthran N. Paramaguru, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah pagi ini, lapor NST.
Semua hakim menyampaikan keputusan mereka selepas mengesahkan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn terhadap permohonan itu.
Mereka juga mengesahkan kepada peguam Rosmah Jagjit Sigh bahawa dia akan pulang ke negara ini pada atau selewat-lewatnya 7 Julai untuk rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 Julai.
Rosmah, 71, didakwa meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.
Kes Rosmah bermula pada 5 Feb 2020 dan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memerintahkannya membela diri terhadap semua pertuduhan pada 18 Feb 2021.
Zaini mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan pada 1 Sept tahun lepas. Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan itu melalui Tetuan Akberdin & Co pada 2 Sept.
Mahkamah Rayuan pada 6 Januari telah menetapkan empat hari pada bulan Julai untuk mendengar rayuan Rosmah.
Pagi ini, hakim turut membenarkan permohonan Jagjit untuk meminda tarikh pasport Rosmah dikembalikan buat sementara waktu.
Sebelum ini, dia telah memohon untuk mendapatkan semula pasport dari 6 Jun hingga 7 Julai. Bagaimanapun, hari ini, Jagjit meminta untuk meminda tarikh itu dari 15 Jun hingga 7 Julai.
Sebelum ini, isteri bekas perdana menteri Najib Tun Razak yang dipenjarakan itu telah berjaya dua kali mendapatkan semula pasportnya buat sementara waktu untuk melawat Nooryana dan keluarganya di Singapura pada 15 Oktober 2021 dan 21 Mac tahun lalu.
-BTS Media