CUACA panas terik sekarang ini menyebabkan sekumpulan Orang Asli masyarakat Semaq Beri di Kuala Berang Terengganu meninggalkan kampung mereka untuk tinggal di kawasan hutan yang lebih sejuk.
Bernama melaporkan seorang penduduk kampung, Hitam Keladi, 60, berkata bagi mereka, berpindah dari Kampung Sungai Berua untuk tinggal di dalam hutan sekitar Tasik Kenyir adalah perkara biasa apabila suhu meningkat pada musim panas.
Dia bersama 20 keluarga lain juga berbuat demikian untuk melindungi anak-anak kecil mereka daripada keletihan haba dan penyakit lain.
“Terdapat lebih banyak tempat teduh untuk kami di sini dan dengan angin hutan yang segar pastinya lebih selesa.
Kami bukan lari dari rumah … tapi untuk lebih keselesaan. Anak-anak kecil kami pun kurang demam apabila berada di sini, duduk dalam hutan boleh sihat sikit.
Apabila berada di hutan mereka bukan sahaja menetap di satu tempat, tetapi akan terus bergerak mencari kayu atau memburu di sepanjang sungai.
Hitam yang juga ketua suku kaum di penempatan sementara itu berkata, mereka sudah tiga bulan meninggalkan rumah dan akan pulang ke Sungai Berua apabila cuaca baik.
Sementara itu, Sahak Samak, 41, juga dari suku sama berkata, berpindah ke hutan pada musim panas adalah tradisi yang diamalkan nenek moyang.
“Adalah sebahagian daripada budaya kami untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat di dalam hutan, tetapi kami jarang mengamalkannya sekarang.
Dia berkata, mereka hanya masuk ke hutan apabila perlu, terutama ketika cuaca panas melampau atau kampung dilanda banjir.
Menurut Sahak, selain Tasik Kenyir, mereka juga pernah berpindah ke beberapa kawasan hutan lain berhampiran Sungai Cendana dan sekitar taman negeri Terengganu.
Penempatan Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua ditubuhkan lebih 35 tahun lalu selepas mereka dipindahkan dari Tasik Kenyir berikutan pembinaan empangan dan pembangunan ekopelancongan di sekitar tasik itu.
-BTS Media