GAMBAR KOMPOSIT ATAS: Muhyiddin (Facebook)/ Mahathir (Roger Askew/Oxfod Union)
Oleh Yusoff A. Shariff
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat (2 Jun) berkata beliau bersedia untuk bekerjasama semula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya menyambut baik kenyataan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bekerjasama dengan saya demi matlamat untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu post Facebook.
Muhyiddin berkata, sebagai seorang Muslim beliau secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan semua pemimpin Melayu dan Islam, termasuk Mahathir, demi mempertahankan agama, bangsa, dan negara.
Terdahulu minggu ini, dalam satu temu bual dengan portal berita MalaysiaNow, beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Muhyiddin.
Mahathir berkata, matlamat utama haruslah memperjuangkan perjuangan Melayu, selain menolak mereka yang terlibat dalam rasuah atau salah laku jenayah.
Menurut beliau lagi, orang Melayu ketika ini telah berpecah mengikut parti politik, hingga menyebabkan mereka lemah dan tidak mampu membetulkan keadaan.
“Kita telah berpecah kepada banyak parti, dan kita kehilangan kuasa. Apabila kita kehilangan kuasa, kita tidak boleh membetulkan keadaan yang merugikan orang Melayu.
“Inilah sebabnya kita perlu bersatu,” kata Mahathir, yang pernah dua kali berkhidmat sebagai perdana menteri.
Bekas ahli parlimen Langkawi itu pernah bekerjasama dengan Muhyiddin untuk membentuk BERSATU pada 2016, selepas beliau dipecat daripada UMNO kerana lantang mengkritik secara terbuka skandal 1MDB.
Ke arah matlamat bersama untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO yang tercalar disebabkan skandal 1MDB itu, Muhyiddin dan Mahathir yang dilantik sebagai pengerusi BERSATU telah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), dan seterusnya menamatkan pemerintahan Barisan Nasional yang diterajui UMNO selama lebih 60 tahun dalam pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Dua tahun kemudian, Mahathir telah berundur daripada BERSATU selepas kejatuhan kerajaan pimpinan PH, di mana Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri untuk menggantikan beliau.
Pada Ogos 2021, Muhyiddin telah meletakkan jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, berikutan tindakan beberapa ahli parlimen UMNO yang dipimpin oleh Ahmad Zahid Hamidi menukar haluan dan memberi sokongan kepada PH di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.
Muhyiddin kini memimpin gabungan Perikatan Nasional yang disertai oleh BERSATU, PAS dan Gerakan.
-BTS Media