Oleh Yusoff A. Shariff
PERIKATAN Nasional (PN) telah membuat semua persiapan yang diperlukan untuk mengekalkan penguasaan di Kedah dalam pilihan raya negeri pada bulan Julai.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun PH dan BN bertekad untuk merampas Kedah, namun ia bukan mudah untuk mereka.
“Kita sudah mulakan persiapan awal, seperti latihan untuk jentera pilihan raya dan meningkatkan kempen media sosial, selain kaedah kempen tradisional,” katanya kepada media pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PN bagi pilihan raya negeri di Guar Chempedak, Yan, Kedah petang semalam.
Lebih 50,000 jentera pilihan raya PN dan penyokong hadir pada majlis yang dilancarkan oleh setiausaha agung gabungan itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya PN menambah bahawa negeri-negeri yang dikuasai PN tetap berpegang kepada pendirian untuk pilihan raya diadakan serentak.
“Kami tak pasti sama ada terdapat sebarang perubahan rancangan oleh PH, tetapi Kedah, Kelantan dan Terengganu berpegang kepada persefahaman awal untuk pilihan raya serentak.
“Setakat ini, kami berpegang kepada persefahaman awal yang dicapai dalam kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri di kesemua enam negeri,” katanya.
Sanusi merujuk kepada persefahaman yang dicapai dalam kalangan pemimpin negeri yang dikuasai PN dan negeri yang dikuasai PH – Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengenai pilihan raya serentak.
Tambahnya, Dewan Undangan Negeri Kedah akan dibubarkan pada akhir Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-15 seperti telah diumumkan.
-BTS Media