BTS Media

Sanusi nafi hampir sejuta pengguna terjejas bekalan air terputus pada raya

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan krisis bekalan air di negeri itu sehingga hampir sejuta pengguna didakwa terjejas pada musim perayaan Aidilfitri, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, hanya 7,222 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) terjejas berbanding 645,041 keseluruhan akaun di negeri itu.

“Ada orang suka bising-bising seolah-olah berlaku krisis besar air di Kedah.

“Daripada jumlah keseluruhan, akaun yang terjejas berjumlah 7,222 atau 1.2 peratus dan bekalan air dihantar menggunakan lori.

“Ada yang laporkan satu juta pengguna terjejas, ini memberi gambaran keterlaluan, kalau 7,222 akaun terjejas dan lima orang pakai satu akaun, baru 35,000 orang terjejas.

“Katakan anak ramai 10 orang termasuk ibu bapa, baru lebih 70,000 orang terjejas, angka satu juta pengguna terjejas datang dari mana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, SADA komited membantu pengguna terjejas dengan menyediakan bantuan penghantaran air ke lokasi berkenaan menggunakan lori walaupun terpaksa menampung kos tinggi.

Katanya, sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi tujuan itu sehingga Mac dan berharap pembinaan lima Loji Rawatan Air (LRA) yang giat berjalan akan siap mengikut waktunya bagi membantu mengurangkan kos penghantaran lori bantuan bekalan air.

Mengikut rekod, katanya, kos penghantaran lori bantuan bekalan air ke kawasan terjejas pada 2015 adalah RM307,510; diikuti 2016 (RM 5.8 juta); 2017 (RM 8.1 juta); 2018 (RM 567,000); 2019 (RM1.9 juta); 2020 (RM3.08 juta); 2021 (RM5.07 juta); dan 2022 (RM6.6 juta).

Muhammad Sanusi berkata, kos penghantaran air menggunakan lori berkurangan pada 2018 berikutan LRA Pokok Sena berfungsi sepenuhnya namun kembali meningkat pada tahun berikutnya susulan kajian semula pembinaan lima LRA baharu oleh kerajaan ketika itu.

Beliau turut menafikan pembinaan lima LRA yang didakwa lambat dan tidak mencapai tahap kemajuan ditetapkan.

“LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), kalau mengikut jadual kontrak kena capai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lalu tetapi kemajuan sebenar ialah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan.

“Begitu juga dengan LRA lain yang semuanya berada di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau yang lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal.

“Sepatutnya mereka cecah 11.39 peratus pada 30 April tetapi yang dicapai cuma 10.98 dan kita memanggil kontraktor untuk segerakan apa yang patut,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1099514/mana-ada-sejuta-pengguna-putus-bekalan-air-di-kedah

Leave a Comment