GAMBAR: Bernama.
Oleh Yusoff A. Shariff
PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan kecuaian dan penderaan melibatkan seorang remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menyampaikan keputusan itu di akhir kes pembelaan pada Rabu (3 Mei).
Seramai 22 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang bermula pada 30 Mac 2022, termasuk seorang bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan, penolong pengurus sebuah syarikat swasta Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.
Pada 24 Nov, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan mendera seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun pada akhirnya kes pendakwaan.
Siti Bainun didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias manakala peguam Khairul Anwar Rahmat, Baljit Singh Sidhu, Ikbal Salam dan Mohd Radzi Yatiman dilantik oleh Tengku Mahkota Tunku Johor Ismail Sultan Ibrahim untuk terus memantau kes itu.
-BTS Media