BTS Media

Cabaran terbesar Anwar dalam enam PRN adalah untuk meningkatkan undi Melayu – Khairy

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim akan berdepan cabaran besar untuk pilihan raya akan datang di enam negeri, dan ia adalah untuk meningkatkan undi Melayu kepada gabungan itu, kata bekas menteri Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dipecat daripada UMNO pada Januari, Khairy yang kini seorang sarjana pelawat di Institut ISEAS–Institut Yusof Ishak Singapura, menyatakan ini dalam satu artikel yang meramalkan kesukaran menantikan PH untuk memenangi tiga negeri pimpinan PAS, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, pilihan raya itu akan mendedahkan cabaran terbesar Anwar untuk meningkatkan jumlah undi bagi PH di kawasan Melayu.

Khairy yang merupakan bekas ketua Pemuda UMNO menyatakan demikian dalam majalah Singapura, Fulcrum bertajuk “Anwar’s Coalition Government: Navigating Tricky Undercurrents” (Kerajaan Campuran Anwar: Mengemudi Arus Sukar).

Khairy berkata beberapa penganalisis telah meletakkan bahagian undi Melayu kepada PH semasa pilihan raya umum tahun lepas pada kurang daripada 15 peratus.

Beliau berkata, bertanding pilihan raya negeri dengan kadar sokongan sebanyak itu adalah mustahil bagi Anwar untuk menguasai  mana-mana negeri di utara semenanjung, dan dia juga perlu mengawasi kubu kuatnya sendiri, iaitu Selangor.

Menurut Khairy, landskap politik Malaysia telah banyak berubah sejak pilihan raya umum ke-15 November lalu.

Ketika itu, PH dan gabungan pesaingnya Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai oleh  PAS berada dalam kebuntuan kerana kedua-dua pihak tidak mempunyai cukup kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Tetapi, melalui rundingan dengan beberapa gabungan politik lain dan campur tangan Majlis Raja-Raja, Anwar akhirnya dilantik sebagai perdana menteri, menewaskan pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khairy berkata PN kini telah mengenal pasti Selangor dan Negeri Sembilan sebagai dua medan pertempuran utama dalam pilihan raya negeri akan datang.

Tambahnya, walaupun pakatan pembangkang masih tidak mungkin dapat mengambil alih Selangor, namun ia mempunyai peluang untuk memenangi 12 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH berkemungkinan mengekalkan 41.

Beliau mengunjurkan bahawa di Negeri Sembilan, PN boleh meraih dua daripada 36 kerusi DUN, manakala PH meraih 18, dan Barisan Nasional (BN) menguasai baki 16 kerusi.

“Tetapi peluang Perikatan Nasional boleh ditingkatkan jika mereka mendapatkan ‘poster boy’ yang popular.

“Tambahan pula, arus politik yang sedang melanda Malaysia pada masa ini mungkin akan menjadi semakin kuat dan seterusnya mengancam kestabilan Anwar jika beliau dan sekutunya tidak mampu mengharunginya,” tulis Khairy.

Beliau mendakwa PN kini menggunakan strategi Anwar menjelang pilihan raya negeri dalam kapasitinya sebagai pihak pembangkang, dengan memperjuangkan kempen populis seperti mendesak rakyat Malaysia dibenarkan membuat pengeluaran KWSP mereka.

Dalam pada itu, Khairy berkata bahawa Anwar juga perlu menangani karenah UMNO yang memeningkan.

Walaupun UMNO sekutu PH, Khairy berkata Anwar dibebani rakan lamanya Ahmad Zahid Hamidi yang kini presiden parti tersebut dan juga timbalan perdana menteri.

Khairy, yang secara terbuka mencabar kepimpinan Zahid dalam UMNO semasa dan selepas PRU15, melabel Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai “beban besar” kepada Anwar.

“Modal politik Anwar semakin terjejas, memandangkan reputasi Zahid dan tanggapan bahawa dia memberi ganjaran kepada penyokong dan kroninya tanpa disekat.

“Yang lebih membimbangkan Anwar ialah jika UMNO menjadi liabiliti pilihan raya semasa pilihan raya negeri nanti,” tulis Khairy lagi.

Tambahnya, Anwar juga perlu menangani isu bekas perdana menteri Najib Razak yang kekal sebagai tokoh politik berpengaruh walaupun dipenjarakan kerana jenayahnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

“Penyokong Najib, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya separuh ahli majlis tertinggi, telah melancarkan petisyen bagi menyokong pengampunannya.

“Mereka juga telah melancarkan serangan ke atas badan kehakiman dengan membocorkan dokumen siasatan terhadap hakim yang mensabitkannya,” tulis Khairy.

Bekas menteri Kesihatan itu berkata Zahid telah meminta UMNO supaya memohon secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pengampunan Najib.

Khairy berkata sokongan kepada Anwar mungkin merosot jika beliau gagal mempertahankan badan kehakiman daripada kempen fitnah berterusan terhadap hakim perbicaraan SRC yang mensabitkan Najib.

-BTS Media

Leave a Comment