BTS Media

Jual kuih RM1, Nasi Ayam RM3 memang boleh, hanya mahu atau tak mahu saja…

GAMBAR atas: Bernama.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

KITA kerap mendengar peniaga mengeluh kerana terpaksa menaikkan harga berikutan kenaikan harga bahan mentah.

Tetapi, di beberapa tempat masih ada peniaga yang reda dengan keadaan berbekalkan keikhlasan untuk membantu orang ramai dengan menjual makanan pada harga yang jauh lebih murah.

Ambil contoh seorang peniaga di Taman Klebang Restu, Ipoh yang menjual lebih daripada 3,000 peket pelbagai kuih pada harga hanya RM1.00 satu di gerainya sejak hari pertama Ramadan.

Laporan Bernama memetik pembantu gerai, Nurul Natisa Ishak berkata mereka meraih pelbagai jenis kuih, termasuk kuih lopes, ketayap, cara berlauk dan tauhu bergedil daripada 24 pembekal untuk dijual di gerai mereka yang dibuka dari pukul 2.00 hingga 7.30 sepanjang Ramadan.

Dia berkata tujuan menjual semua kuih ini pada harga mampu beli ialah untuk memberikan pilihan kepada pelanggan.

Katanya lagi, sepeket cukup untuk seorang, tetapi jika pelanggan membeli untuk keluarga, mereka boleh membeli dalam kuantiti yang banyak tanpa berkira sangat tentang harga.

Nurul Natisa berkata sejak perniagaan bermula dua bulan lepas, kuih-muih dan lauk dijual habis setiap hari.

Dia yang membantu kakak iparnya di gerai berkata penjualan amat menggalakkan dengan pendapatan purata RM3,000 sehari.

Bagi mereka, walaupun mendapat keuntungan ala kadar, namun mereka berasa seronok melihat begitu ramai pelanggan menuju ke gerai mereka untuk membeli kuih-muih pada harga yang amat berpatutan.

Apabila melihat keadaan ini kita mungkin bertanya kenapa peniaga lain tidak ikut sama menjual pada harga lebih rendah, walhal ia dapat dilakukan oleh pemilik gerai tersebut.

Ramadan, antara lain adalah bulan yang bertujuan untuk meningkatkan empati, simpati serta kesedaran akan keperluan mereka yang kurang bernasib.

Oleh itu, amatlah tepat bagi para peniaga, terutama berkongsi rahmat bulan mulia ini bersama masyarakat yang menjalani ibadah Ramadan bersama.

GAMBAR: The Star.

Dalam pada itu, di penjuru lain di George Town pula seorang peniaga Nasi Ayam Cina juga menarik perhatian ramai apabila masih mampu menjual sepinggan nasi ayam pada harga hanya RM3.00.

Bagi Ong Eng Kim, 50, dia menjual pada harga rendah itu sejak bulan Oktober lalu di gerainya di satu penjuru kedai kopi di Jalan Macalister.

Keuntungan kasar yang diperolehnya sejak berbuat demikian adalah antara 30 sen dan 50 sen, tetapi dia dapat mengimbanginya berdasarkan jumlah jualan, lapor The Star.

Ong berkata dia menjual kira-kira 20 ekor ayam sehari, yang menghasilkan hampir 200 pinggan Nasi Ayam.

Contoh yang ditunjukkan oleh peniaga kuih muih di  Ipoh dan peniaga Nasi Ayam di George Town ini membuktikan bahawa jika ada kemahuan mana-mana peniaga pun boleh terus meraih keuntungan apabila menjual makanan pada harga rendah dan sekali gus berbakti kepada masyarakat.

-BTS Media

Leave a Comment