Oleh Yusoff A. Shariff
LIMA pegawai penguat kuasa antara sembilan individu ditahan kerana disyaki terbabit penyeludupan migran ke negara ini dalam operasi di Sabah Khamis lalu.
Dalam kenyataan pada Sabtu (25 Mac), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata anggota penguat kuasa berusia antara 30 dan 41 tahun termasuk dua wanita itu ditahan antara pukul 2.30 petang dan 8.40 malam dalam operasi bersama “Op Lancar” SPRM Â dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Turut ditahan pada hari yang sama, empat individu, tiga lelaki dan seorang wanita, berumur antara 37 dan 43, dipercayai bertindak sebagai ejen pekerja Indonesia.
Menurut kenyataan itu, modus operandi sindiket itu ialah mengenakan pendatang tanpa izin atau mereka yang tidak mempunyai dokumen sah kira-kira sebanyak RM2,500 seorang bagi laluan mereka meninggalkan Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan identiti orang lain.
Mereka diberikan pas masuk menggunakan nama yang dinyatakan dalam MyKad, dan ketibaan mereka di KLIA disambut oleh pegawai penguat kuasa yang telah dibayar untuk membenarkan mereka masuk, sekali gus membolehkan pendatang melepasi pusat pemeriksaan imigresen tanpa sebarang masalah, katanya.
Siasatan SPRM mendapati bahawa sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2018 itu menyediakan pas untuk membawa masuk antara lima hingga 20 PATI dalam setiap penerbangan ke KLIA.
Dalam operasi itu, SPRM turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad pengenalan Malaysia dan cop keluar Sabah serta menahan 12 pendatang tanpa izin.
Sementara itu, Jabatan Imigresen dalam satu kenyataan berasingan, hari ini mengesahkan lima pegawai Jabatan Imigresen Sabah ditahan SPRM pada Khamis lepas.
Mereka didakwa terbabit dalam penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini.
Ketua Pengarahnya Ruslin Jusoh berkata perkara itu diserahkan kepada SPRM untuk menyiasat.
-BTS Media