MONOPOLI mengimport makanan, pengimportan beras, teknologi mudah alih 5G, dan bekalan perubatan perlu dipecahkan, kata ahli ekonomi susulan keputusan menamatkan monopoli Puspakom melibatkan pemeriksaan kenderaan.
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, berkata monopoli dalam pengeluaran makanan, terutama pengimportan beras dan makanan ruji lain antara yang perlu dipecahkan kerana menyumbang harga lebih tinggi kepada pengguna.
Monopoli lain termasuk pelaksanaan 5G dan bekalan perubatan kepada hospital kerajaan, katanya.
Seorang lagi ahli ekonomi, Nazari Ismail dari Universiti Malaya, berkata kerajaan perlu melihat monopoli Bernas untuk mengimport beras.
“Lebih banyak saingan memberi kelebihan kepada pengguna menikmati produk dan perkhidmatan lebih baik,” katanya.
Williams berkata, memecahkan monopoli tidak perlu dilakukan secara ad hoc. Inisiatif anti-persaingan mesti menjadi sebahagian dasar holistik persaingan dipacu Suruhanjaya Persaingan Malaysia dan Kementerian Ekonomi.
Semalam, kerajaan mengumumkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan akan dibuka kepada pihak berkelayakan selepas konsesi Puspakom tamat, pada 31 Ogos tahun depan.
Bagaimanapun, Nazari berkata, pemeriksaan kenderaan sepatutnya dilakukan pihak berkuasa berbanding diserahkan kepada industri swasta.
Katanya, menamatkan monopoli Puspakom bukan isunya, sebaliknya meletakkan kembali fungsi itu kembali kepada kerajaan. “Pemantauan ketat perlu dilaksanakan bagi demi memastikan perkhidmatan disediakan pada tahap terbaik dan tidak berlaku penyelewengan.”
Pemeriksaan mandatori kenderaan komersial dan persendirian dilaksanakan sepenuhnya oleh Puspakom, sejak kerajaan melantik syarikat itu sejak 1994.