BTS Media

Ahli ekonomi cadang ‘dana super’, pastikan B40 layak terima pencen bulanan

AHLI ekonomi mencadangkan penubuhan dana bertujuan menyediakan pesara daripada kumpulan berpendapatan rendah mendapat pencen bulanan kira-kira RM2,000 sebulan seorang.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), berkata ‘dana super’ itu boleh diwujudkan dengan menggabungkan skim keselamatan sosial, badan pesara dan aset tidak dituntut.

Ia termasuk membabitkan Perkeso, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan aset tidak dituntut bagi individu sudah meninggal dunia.

Beliau menganggarkan, kesemua badan itu memegang aset dan wang berjumlah RM309.4 bilion, lebih daripada mencukupi bagi memulakan dana pencen kepada kumpulan berpendapatan rendah.

Pembayaran daripada dana itu akan menjadi pelengkap kepada baki simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).

Williams yang juga felo kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), memberitahu FMT, beliau yakin setiap pesara B40 akan mendapat kira-kira RM2,000 sebulan daripada dana terbabit walaupun ia hanya menjana pulangan 5% sahaja setahun.

“Dana lain seperti yang berada di bawah persekutuan dan kerajaan negeri mahupun swasta, juga boleh bergabung dalam dana super itu,” katanya.

Katanya, cadangan dikemukakannya lebih realistik berbanding mana-mana jangkaan mengatakan mereka yang berada dalam B40 boleh mempunyai simpanan mencukupi berdepan cabaran mendatang.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Strategi KWSP Nurhisham Hussein, menjangkakan rakyat Malaysia perlu mempunyai tabungan RM900,000 hingga RM1 juta untuk menikmati kehidupan selesa selepas bersara. Katanya, walaupun jumlah itu kelihatan besar namun ia hanya “sekadar cukup” mengambil kira kos inflasi dan perubatan.

Williams ketika mengulas lanjut, berkata beliau percaya dalam jangkaan konservatif, sambil menambah, mereka paling terkesan tidak mampu mengumpul jumlah sebanyak itu.

Juita Mohamad dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), menggambarkan jangkaan KWSP itu sebagai konservatif dan menyatakan pelan perlindungan sosial sedia ada perlu menjalani reformasi.

Satu daripada reformasi itu, katanya, merangkumi mekanisme perlindungan sosial meliputi mereka yang bekerja di sektor ekonomi tidak formal.

Katanya, pekerja dalam sektor berkenaan tidak mendapat perlindungan sosial sewajarnya bagi persaraan mereka, berbanding pekerja di sektor formal.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/05/ahli-ekonomi-cadang-dana-super-pastikan-b40-layak-terima-pencen-bulanan/

Leave a Comment