BTS Media

MBPJ: Masih siasat selepas video lelaki tua dikasari oleh pegawai penguat kuasa tular

Oleh Fetty Rara

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memulakan siasatan dalaman terhadap pegawai penguat kuasanya berikutan tersebarnya video yang menunjukkan pegawainya dilihat mengasari seorang lelaki tua semasa operasi menangkap anjing liar.

Jurucakap MBPJ berkata siasatan telah dimulakan serta-merta selepas majlis dimaklumkan mengenai penyebaran video itu, lapor akhbar NST.

“Perkara sedang disiasat,” kata jurucakap itu dalam jawapan ringkas kepada NST selepas akhbar tersebut menghantar video dan gambar kejadian kepada MBPJ.

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan polis terhadap penguat kuasa itu akan dibuat di balai polis Petaling Jaya lewat petang ini.

Kumpulan Malaysia Independent Animal Rescue (MIAR) dalam satu kenyataan Facebook hari ini juga memohon sokongan orang ramai supaya tindakan diambil terhadap pegawai penguat kuasa terbabit.

Kumpulan itu memohon kerjasama orang ramai untuk menghentikan kelakuan sedemikian oleh MBPJ dan kakitangan majlis yang lain.

Awal hari ini, beberapa video dan gambar seorang lelaki tua dikasari oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mula tular di media sosial.

Dalam salah satu video, beberapa pegawai majlis yang beruniform dilihat memukul lelaki tua itu dengan batang besi penangkap anjing.

Dalam satu lagi catatan seorang pengguna Facebook memperincikan detik-detik kejadian itu bersama dengan video dan gambar.

Dia berkata telah mengenali lelaki tua itu dan anjingnya selama bertahun-tahun dan menyifatkan mereka sebagai tidak berbahaya dan dijaga dengan baik.

Beliau seterusnya mendakwa bahawa pasukan pegawai memaksa keadaan menjadi ganas, hingga lelaki tua itu mengalami kecederaan di rahang, pipi dan luka di pergelangan tangannya.

Video itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai dalam media sosial mengenai cara kasar yang digunakan oleh pegawai majlis semasa operasi menangkap anjing liar.

Mereka meluahkan rasa marah terhadap tindakan para pegawai penguatkuasa berkenaan dan mendesak keadilan untuk lelaki tua itu dan anjingnya.

-BTS Media

Leave a Comment