PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju peraturan ditetapkan kerajaan Selangor yang melarang sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung perkara tersebut.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri pernah melawat rumah ibadah penganut agama lain beberapa kali dan mendakwa tidak terdapat agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini.
“Negara kita merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan agama.
“Program dan usaha untuk menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat seharusnya disambut dengan baik oleh semua pihak di semua peringkat.
“Sebagai Presiden MUDA, saya ingin memanggil lebih daripada 100,000 ahli parti untuk melawat mana-mana rumah ibadah. Negara ini adalah rumah kita dan rumah kita bersama,” katanya dalam beberapa catatan di media sosial.
Mohd Zawawi pada Rabu berkata sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain dilarang sama sekali di negeri Selangor
Menurut beliau, walaupun menyambut baik program ke arah kefahaman dan toleransi antara agama yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO), namun perlu mematuhi undang-undang serta garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Syed Saddiq berkata MUDA yang terdiri daripada ahli pelbagai latar belakang tidak pernah mempunyai masalah untuk bekerjasama ketika program kemasyarakatan diadakan.
Selama ni tak pernah lagi ada halangan untuk orang Islam lawat rumah ibadat agama lain, tiba-tiba sekarang dilarang?
Saya pasti, mengunjung, menimba ilmu tentang agama lain tidak akan berkurang pun Iman kita sebagai umat Islam.
Remember, our diversity is our strength. pic.twitter.com/CuI8RHvOwu
— Syed Saddiq (@SyedSaddiq) March 16, 2023
Beliau berkata, ahli Muda tidak mengira agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tempat ibadah ketika kerja-kerja pembersihan banjir.
“Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama.
“Sebagai seorang wakil rakyat, saya juga telah banyak kali melawat ke rumah ibadah penganut agama lain dan boleh dikatakan tidak ada agenda untuk menjejaskan agama Islam di negara ini,” jelasnya.
Tambah Syed Saddiq, beliau dijemput kerana mewakili rakyat tanpa mempedulikan agama, bangsa dan kefahaman politik mereka kerana kebajikan adalah tanggungjawabnya.
Beliau turut mempersoalkan sekiranya enakmen itu akan dipakai terhadap pemimpin-pemimpin besar negara jika melawat ke rumah-rumah ibadah tersebut.
Pada Isnin, sebuah portal media tempatan melaporkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, menganjurkan program Projek Artikel 11: ‘Ziarah Gereja’ mempelawa belia penganut agama selain Kristian untuk menyertainya.
Program NGO bernaung di bawah agensi pembangunan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia, khususnya bukan Kristian terlibat bersama dengan matlamat memberi pendedahan tentang persamaan dan perbezaan agama menerusi aktiviti lawatan dan kesukarelawan.
Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilapor berkata, program itu bukan bertujuan memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.
-BTS Media