KERAJAAN, melalui Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, didakwa telah memberikan kontrak untuk mengimport telur dari India melalui rundingan terus kepada sebuah syarikat milik seorang peniaga permaidani.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pemberian kontrak secara langsung itu bercanggah dengan janji proses tender terbuka yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, sebelum ini Kerajaan Perpaduan berkata akan buat tender terbuka dan tidak akan membuat rundingan terus.
Bagaimana pun, Azmin berkata apabila pimpinan (PN) dan ahli parlimen mencabar Dewan Rakyat supaya mendedahkan syarikat yang diberi kontrak mengimport telur dari India ke Malaysia, mereka tidak mendapat jawapan.
“Jadi, ini kita kena dedahkan,” katanya ketika berucap pada ceramah yang diadakan di Markas Pusat PAS di Taman Melewar malam tadi, lapor sebuah portal berita hari ini.
Azmin turut mendakwa menteri bertanggungjawab Mohamad Sabu telah membawa ahli perniagaan terbabit dalam lawatannya ke India baru-baru ini.
Pada 28 Feb, Mohamad dilaporkan berkata hanya satu syarikat dibenarkan mengimport telur dari India dan langkah itu diambil bagi menangani kekurangan bekalan telur di pasaran tempatan.
-BTS Media