Oleh Fetty Rara
BEBERAPA penganalisis berkata ketidakupayaan Anwar dan kerajaan perpaduan untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) tidak menghairankan.
Ini kerana iklim politik semasa mengikat tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungannya, Pakatan Harapan (PH).
Bagi Profesor Sains politik Dr Wong Chin Huat dari Universiti Sunway yang bercakap kepada FMT, ia adalah kerana kepelbagaian gabungan kerajaan sekarang.
Sementara itu, Profesor Pengajian Asia James Chin, dari Institut Asia Universiti Tasmania, berpendapat Anwar tidak mempunyai pengaruh politik mencukupi untuk meneruskan dasar yang mungkin tidak sesuai dengan masyarakat Melayu.
UEC ialah peperiksaan standard yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Cina Bebas Malaysia (MICSS).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 1 Mac berkata kementerian tidak bercadang untuk mengiktiraf UEC. Beliau berkata pendirian ini adalah berdasarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Akta Pendidikan 1996.
Pada 4 Mac, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Fadhlina berhubung perkara ini bagi mendapatkan penjelasan punca kementerian itu membuat keputusan itu.
Salah satu janji penting yang dibuat dalam manifesto PH untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah untuk mengiktiraf UEC.
Gabungan itu komited untuk memastikan supaya institusi pengajian tinggi awam mengiktiraf UEC, dengan syarat pemohon sekurang-kurangnya mendapat kepujian bagi kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM mereka.
Wong berkata adalah munasabah bagi kerajaan untuk tidak mengiktiraf UEC kerana ia bukan sahaja tidak berkesan, tetapi juga boleh menjejaskan survival kerajaan sekarang.
Beliau berkata jika berbuat demikian, kerajaan akan mendedahkan diri kepada serangan nasionalis Perikatan Nasional, justeru bagi mengelakkannya lebih baik terus tidak mengiktiraf UEC), katanya kepada FMT.
Beliau berkata tindakan untuk mengiktiraf UEC adalah mustahil kerana kerajaan Anwar tidak memperoleh majoriti undi Melayu pada PRU15. Sekiranya sijil itu diakui, PN akan menggunakannya sebagai alat untuk mengkritik kerajaan, dan menuduhnya meminggirkan hak Melayu-Islam, kata Wong.
Sementara itu, Chin berkata DAP, yang merupakan satu komponen PH, paling terkesan dengan keputusan itu memandangkan parti tersebut secara terbuka menyokong untuk mengiktiraf UEC, dan kini perlu menjelaskan kedudukan mereka.
Bagaimanapun, beliau mendakwa, walaupun tidak mengiktiraf UEC, keputusan itu tidak mungkin menjejaskan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH pada pilihan raya negeri akan datang.
Semasa PH memerintah sebelum ini, satu pasukan petugas ditubuhkan untuk mengumpul pendapat mengenai pengiktirafan UEC, yang merupakan sebahagian daripada manifesto mereka untuk pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Ahli sosiologi Eddin Khoo mengetuai pasukan petugas itu yang turut dianggotai Raimi Abdul Rahim, kemudian Presiden Pergerakan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Tan Yew Sing, ketika itu timbalan presiden Dong Zong.
Bagaimanapun, semua usaha ke arah pengiktirafan UEC dihentikan selepas pertukaran kerajaan pada Februari 2020, walaupun laporan pasukan petugas itu telah disiapkan.
-BTS Media