BANJIR di Johor merekodkan dua lagi kematian membabitkan dua warga emas yang berjiran di Jalan Kwongsai di Chaah, Segamat.
Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Lee Amo Yee, 74, dan Tan Sue Ke, 78, yang ditemukan terperangkap di dalam rumah masing-masing.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata penyelamat telah melakukan pencarian di kawasan itu selepas menerima maklumat daripada anak kedua-dua mangsa.
Beliau berkata mayat mangsa lelaki dan wanita itu ditemukan di dalam rumah mereka sendiri di jalan Kwongsaipada pukul 11.00 pagi Khamis (2 Mac).

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila air banjir mencecah ketinggian kira-kira 2m secara tiba-tiba pada Rabu (1 Mac).
Beliau berkata, air banjir mencecah paras bumbung di rumah mangsa yang terletak berhampiran balai polis Chaah.
“Mangsa tinggal bersendirian di rumah masing-masing yang jaraknya 400m. Semasa kejadian, mereka tidak sempat menyelamatkan diri kerana air naik dengan cepat,” tambahnya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Kejadian terbaharu ini menjadikan jumlah kematian akibat banjir di Johor tiga orang.
Semalam, mangsa banjir pertama di Johor direkodkan di Kluang apabila seorang lelaki ditemukan mati di dalam kereta yang dipercayai dihanyutkan air banjir di Jalan GSA Chamek, Paloh.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa yang berusia 20 tahun sedang memandu ke tempat kerja di sebuah kilang memproses minyak sawit berhampiran apabila air banjir menghanyutkan kereta itu pada kira-kira pukul 7.20 pagi.
“Usaha mencari dan menyelamat dijalankan dan pada pukul 12.20 tengah hari, dan kereta itu ditemukan ditenggelami air banjir.
“Setelah memeriksa, seorang lelaki ditemui mati di dalam. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk bedah siasat,” katanya.
-BTS Media