Oleh Fetty Rara
PAS mempertahankan kenyataan presiden parti Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang kepada pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan untuk merasuah mereka, tetapi hanya satu bentuk amal.
Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS turut menyokong kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa gabungan itu mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan tersebut.
Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, berkata Abdul Hadi dan Hamzah membuat kenyataan itu berdasarkan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak bertentangan dengan peraturan dan kenyataan SPR,” katanya dalam jawapan ringkas WhatsApp kepada New Straits Times semalam.
ADUN Panchor itu diminta mengulas dakwaan Abdul Hadi bahawa pemberian wang tunai itu tidak melanggar peraturan dan merupakan satu bentuk kebajikan kepada pengundi.
Abdul Hadi, yang merupakan ahli parlimen Marang, dilaporkan berkata tidak ada yang salah dengan tindakan sedemikian dan ia tidak bertentangan dengan undang-undang pilihan raya.
Abdul Hadi menambah, mengikut undang-undang pilihan raya hanya calon dan ejen mereka tidak dibenarkan menyampaikan sebarang bentuk pemberian.
Pada Ahad lepas, Hamzah berkata PN mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan bahawa gabungan itu merasuah pengundi pada PRU15.
Beliau berkata pasukan pembelaan gabungan itu bersedia untuk membuktikan bahawa dakwaan UMNO Terengganu dalam tiga petisyen pilihan raya, adalah tidak benar.
Kenyataan dua pemimpin tertinggi itu turut disokong sayap Pemuda PAS. Dalam responsnya pada Ahad, ketua pergerakan itu, Ahmad Fadhli Shaari meminta Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi melihat dirinya terlebih dahulu sebelum menyerang Abdul Hadi.
“Saya cadangkan Datuk Seri (Zahid) membeli cermin atau menggunakan cermin yang berada di kediaman rasminya (untuk merenung kenyataannya),” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam catatan Facebook.
PAS sebelum ini mendapat kecaman selepas tular klip video kononnya pemimpin parti itu telah menyerahkan wang tunai kepada pengundi. Beberapa laporan polis mengenai video itu dibuat dan beberapa pemimpin parti tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang berlaku.
Hari ini akhbar New Straits Times melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata istilah seperti sedekah masih dianggap rasuah di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.
-BTS Media