Oleh Yusoff A. Shariff
SELEPAS Puad Zarkashi menempelak Khairy Jamaluddin berhubung isu jawatan utama UMNO tidak dipertandingkan, kini Ismail Sabri pula tampil mempertahankan perkara itu dibawa ke RoS.
Bagi Ismail Sabri ia adalah isu perundangan dan tidak berakhir semata-mata kerana kononnya ditafsirkan bahawa perlembagaan parti didakwa membenarkannya.
Beliau yang juga naib presiden UMNO mempertahankan pendirian bahawa usul dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan mesti dirujuk kepada pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Menurut beliau kenyataan itu dibuat berdasarkan peraturan dan perlembagaan parti.
“Saya bercakap mengenai undang-undang parti. Terdapat dua pandangan mengenai kesahihan keputusan itu (yang dibuat pada perhimpunan agung Umno).
“Ada yang mengatakan ia sah dan ada yang mengatakan sebaliknya.
“Kedua-dua pandangan itu mempunyai alasan kukuh, jadi jika berlaku pertikaian, ahli boleh merujuknya kepada RoS,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau menjawab kenyataan Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, yang mempersoalkan pendirian Ismail Sabri berhubung perkara itu.
Pada hari Khamis, Nur Jazlan berkata tindakan Ismail Sabri mempersoalkan keputusan tidak bertanding adalah “pelik” kerana tindakannya sebelum ini mencadangkan sebaliknya.
Nur Jazlan mendakwa bekas perdana menteri itu berdiri menyokong usul tersebut apabila ia dibacakan semasa perhimpunan agung.
Dalam reaksinya, Ismail Sabri yang juga seorang peguam berkata ramai yang “tidak memahami” kenyataan beliau, termasuk Nur Jazlan, sambil menambah bahawa beliau telah membangkitkan isu itu kerana ia melibatkan pandangan undang-undang daripada dua pihak.
“Seperti yang saya katakan, setiap ahli mempunyai hak untuk mengambil tindakan, termasuk merujuk kes itu kepada RoS.”
Ditanya mengenai beliau berdiri menyokong usul itu, Ismail Sabri berkata beliau tidak mahu membahaskan sama ada beliau telah berdiri atau kekal duduk.
Beliau mengakui bahawa beliau berdiri apabila ‘Allahu Akbar’ dilaungkan, dan ada bukti bergambar yang menceritakan rentetan apa yang berlaku pada waktu itu.
-BTS Media