GAMBAR ATAS: Whispyhistory, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
JANGKA hayat produk bagi vaksin COVID-19 Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Permohonan kelulusan sebelum ini dibuat oleh syarikat Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd berhubung pengemaskinian tempoh.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (20 Jan), Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Norhaliza A Halim berkata tempoh jangka hayat baharu kini adalah daripada 15 bulan kepada 18 bulan bagi vial vaksin yang disimpan pada suhu -90°C sehingga -60°C.
Beliau berkata, pelanjutan jangka hayat itu membabitkan vaksin MAL21016022AZ yang dikeluarkan oleh Pfizer Manufacturing Belgium NV dan MAL21036039ASZ oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Germany.
Menurut Norhaliza, pelanjutan tempoh jangka hayat produk diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.
“Kelulusan pelanjutan jangka hayat ini adalah secara retrospektif, bermaksud kelulusan ini juga terpakai kepada semua stok, termasuk semua stok yang telah diterima sebelum variasi pelanjutan tempoh jangka hayat ini diluluskan,” tambah beliau.
-BTS Media