BTS Media

Perlu kelulusan ROS terlebih dahulu usul tak tanding dua jawatan tertinggi

GAMBAR ATAS: Berita Harian.

 

USUL tambahan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan yang diluluskan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 semalam, didakwa tidak sah kerana melanggar peraturan parti itu sendiri.

Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata terdapat dua tafsiran digunakan penyokong usul itu, antaranya yang menganggap ia sebagai usul tambahan seperti disebut perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin yang mengemukakan usul berkenaan.

Selain itu, ada pihak menganggapnya sebagai pindaan usul mengikut Perkara 20 dalam Peraturan Persidangan PAU, seperti disebut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, Shamsuddin menegaskan usul itu, sama ada dianggap usul tambahan atau pindaan usul, tetap tidak sah kerana ia dikemukakan secara salah dan sepatutnya ditolak oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

“Usul ini tak boleh dianggap pindaan usul kerana dalam tujuh usul asal, tidak langsung disentuh mengenai pertandingan dalam pemilihan parti. Ertinya, ini adalah usul berasingan.

“Jika usul berasingan atau dikatakan usul tambahan, cadangan dikemukakan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, bererti usul ini adalah untuk meminda Perlembagaan UMNO.

“Perlembagaan UMNO jelas memperuntukkan dua jawatan itu mesti dipilih setiap tiga tahun atau dalam tempoh lanjutan yang dibenarkan.

“Jika usul meminda Perlembagaan, kena ikut peraturan iaitu jika dibawa perwakilan, mesti ada notis 14 hari dan perlu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terlebih dahulu. Ia tak boleh dibawa perwakilan secara on the floor (ketika perhimpunan).

“Apabila tidak ikut peraturan, usul ini, sama ada tambahan atau pindaan, adalah tidak sah dan sepatutnya ditolak Pengerusi Tetap dan tidak boleh dibahaskan, apa lagi diluluskan PAU,” katanya.

Perwakilan bantah

Kelmarin, PAU 2022 meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan, walaupun beberapa perwakilan membuat bantahan ketika berbahas Ucapan Dasar Presiden.

Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, yang mewakili UMNO Wilayah Persekutuan dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad yang mewakili Johor.

Mereka senada menegaskan usul tambahan itu bertentangan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

Bagaimanapun, pada sidang media selepas perhimpunan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan usul tambahan itu adalah sah dan tidak boleh dicabar kerana PAU adalah badan tertinggi dalam UMNO.

Ahmad pula dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, sudah mendapatkan nasihat peguam UMNO, yang berpandangan kaedah usul itu dikemukakan adalah sah mengikut Perkara 20 Peraturan Persidangan.

Mengulas lanjut, Shamsuddin memaklumkan status sebenar usul itu kini bergantung pada pendirian ROS, sama ada meluluskannya atau menganggapnya tidak sah, kerana usul itu tidak boleh dikuatkuasakan tanpa kelulusan ROS.

“Jika ROS memutuskan usul itu sah dan masih ada yang tidak puas hati, ahli boleh membawanya ke mahkamah untuk mencabar usul tambahan itu,” katanya.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1052607/perlu-kelulusan-ros-terlebih-dulu-usul-tak-tanding-2-jawatan

Leave a Comment