BTS Media

Banjir Baling: tak perlu tubuh RCI, kata Wan Junaidi

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bagi mengenal pasti punca fenomena kepala air yang menyebabkan banjir kilat di Baling, Kedah, pada Isnin lalu.

Sebaliknya, agensi kerajaan bertanggungjawab perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dengan ketat dan menyeluruh bagi mengelak sebarang perbuatan yang boleh mengundang tragedi itu berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RCI boleh dilaksanakan bagi isu yang betul-betul tidak membabitkan penguatkuasaan undang-undang seperti pembukaan hutan untuk tujuan pertanian yang berlaku di Baling itu.

“Kalau semua benda, semua isu kena ditubuhkan RCI agensi lain tidak buat kerjalah

“Harus difahami, RCI tidak ada kuasa untuk menguatkuasakan (undang-undang), tetapi hanya menjalankan siasatan dan kemudian mengemukakan cadangan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan 66 lembu korban untuk Parlimen Santubong di Stesen Kuarantin Jabatan Pertanian, Bako, Sarawak, hari ini.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, RCI juga mengambil tempoh antara enam hingga tujuh bulan untuk membuat rumusan dan laporan sebelum dibincangkan di Parlimen.

“Kemudian, mungkin dalam tempoh setahun selepas itu pula untuk membuat keputusan untuk dibawa kepada jemaah menteri.

“Selepas itu jemaah menteri pula akan memilih lagi (apa rumusan RCI) yang perlu dikuatkuasakan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Ramkarpal Singh, berkata RCI akan menjadi forum terbaik bagi menyiasat dengan teliti punca banjir lumpur dan kejadian kepala air yang mengorbankan tiga nyawa penduduk di Kupang, Baling.

Ini kerana, katanya, pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk menerima semua keterangan dan RCI juga boleh memeriksa pihak berkaitan dengan memanggil individu terbabit hadir di hadapan mereka bagi memberi bukti.

Wan Junaidi berkata, kejadian di Baling jelas berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan oleh agensi yang terbabit dan beliau percaya jika undang-undang sedia ada dikuatkuasakan dengan penuh amanah, penggondolan hutan tidak akan berlaku sehingga mendedahkan penduduk di kawasan itu kepada bahaya.

“Saya pernah menjadi Menteri Alam Sekitar juga kecewa serta marah dengan apa yang berlaku di Baling itu.

“Penggondolan hutan berlaku dengan jelas walaupun di kawasan bukit dan tidak mungkin pegawai penguat kuasa tidak mengetahuinya atau setiap orang (dalam agensi penguat kuasa) pejam mata saja.

“Sebagai agensi penguat kuasa, tidak kiralah siapa yang terbabit, apa status, apa bangsa dia ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Leave a Comment