Oleh Fetty Rara
BARANGAN sekali pakai, seperti kutleri plastik, pinggan dan dulang akan diharamkan di England dalam usaha mengurangkan pencemaran, kerajaan mengesahkan.
Angka menunjukkan bahawa setiap tahun penduduk England menggunakan kira-kira 1.1 bilion pinggan plastik pakai buang, dan 4.25 bilion kutleri, tetapi hanya 10 peratus dikitarkan semula selepas digunakan, lapor The Guardian.
Barangan plastik yang digunakan sebagai bekas makanan dan minuman yang dibawa pulang, termasuk kutleri, merupakan sebahagian terbesar sampah di lautan yang kemudiannya hanyut ke serata dunia, menurut penyelidikan.
Setiausaha Alam Sekitar, Therese Coffey berkata, kerajaan bersedia untuk melaksanakan pengharaman plastik sekali guna, justeru mengesah apa yang dibayangkan pada bulan lepas.
Langkah itu adalah susulan perundingan mengenai isu berkenaan oleh Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar (DEFRA) yang berlangsung dari November 2021 hingga Februari 2022.
“Garpu plastik mengambil masa sekurang-kurangnya 200 tahun untuk hancur, iaitu dua abad sama ada di tapak pelupusan sampah atau terus mencemarkan lautan,” kata Coffey.
Beliau tegas akan memacu tindakan untuk menangani isu itu secara berterusan, dan berkata bahawa pihaknya telah pun mengambil langkah besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan.
“Larangan baharu ini akan memberi impak besar untuk menghentikan pencemaran berbilion-bilion kepingan plastik dan membantu melindungi alam sekitar semula jadi untuk generasi akan datang.”
Maklum balas rundingan mengenai cadangan bagi mengharamkan barangan plastik sekali guna yang begitu banyak di England akan dikeluarkan pada hari Sabtu ini.
Larangan serupa telah pun dibuat di Scotland dan Wales, manakala kerajaan UK mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik sekali pakai, pengacau dan putik kapas di England pada tahun 2020.
Bagaimanapun nampaknya langkah baharu itu tidak menyeluruh. Menurut akhbar Daily Mail, larangan itu akan meliputi pinggan plastik, mangkuk dan dulang digunakan untuk makanan dan minuman di restoran, kafe atau dibawa pulang, tetapi tidak merangkumi pasar raya dan kedai.
Menurut dokumen perundingan yang dikeluarkan pada November 2021, ini kerana dalam kes kedua, barang tersebut dikelaskan sebagai “pembungkusan utama”, yang menurut kerajaan akan ditangani dengan cara lain.
Langkah mengharamkan plastik sekali guna sebelum ini telah disambut baik oleh kumpulan aktivis alam sekitar walaupun kemajuannya amat perlahan dan skop larangan pula terhad, sementara ada juga pihak yang mahu supaya tumpuan diberikan kepada langkah mengurangkan sisa di sumber.
-BTS Media