BTS Media

Siapa TYT Sabah yang baharu diketahui petang ini

KOTA KINABALU: Spekulasi sama ada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan digantikan atau kekal bakal diketahui selepas Yang di-Pertuan Agong mengurniakan watikah surat cara pelantikan di Istana Negara, petang ini.

Difahamkan, beberapa nama tersenarai sebagai bakal pengganti jawatan ketua negeri Sabah itu jika Tun Juhar, 65, yang memegang jawatan itu sejak 1 Januari 2011 tidak menyambung perkhidmatannya bagi penggal keempat.

Antara nama yang disebut-sebut berpotensi menggantikan Tun Juhar ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Turut berkemungkinan dilantik ialah seorang lagi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berdasarkan perkiraan bahawa Perlembagaan Negeri Sabah tidak menyebut status agama sebagai syarat menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Pada September lalu, nama Pairin dicadang Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) untuk menggantikan Tun Juhar sebagai TYT dengan mengambil kira sumbangannya kepada Sabah dan masyarakat negeri ini.

Sementara itu, sumber berkata, nama Musa yang juga pernah dispekulasikan bakal menjadi TYT pada September 2020 berada dalam senarai utama pemilihan bagi jawatan berkenaan.

“Namanya memang berada dalam senarai tetapi tidak tahu beliau menerima atau tidak,” katanya sambil menambah, Tun Juhar mungkin membuat keputusan tidak menyambung perkhidmatannya.

Dalam pada itu, nama Pandikar Amin turut disebut berdasarkan ketokohan dan pengaruhnya sebagai pemimpin senior yang disegani, selain mengambil kira sumbangannya kepada negeri dan negara terutama dengan latar belakangnya sebagai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pada masa sama, nama Tun Juhar turut disebut mungkin dikekalkan sebagai TYT bagi meneruskan perkhidmatannya yang turut mencatat rekod sebagai TYT paling lama berkhidmat di Sabah.

Ia selepas pindaan terhadap Perlembagaan Negeri Sabah dibuat ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Warisan (WARISAN) pada 2018 berhubung tempoh penggal perkhidmatan TYT.

Sebelum 2018, seseorang TYT bagi negeri Sabah hanya dibolehkan berkhidmat sehingga dua penggal atau lapan tahun, namun dengan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri, tiada lagi had tempoh perkhidmatan ditetapkan.

Tun Juhar yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 2002 hingga 2010 selain Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan pada 1990 hingga 1999 dilantik sebagai TYT pada 2011 ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Musa bagi menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah.

Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan TYT Sabah dijadual berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 3 petang ini.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1043271/tyt-sabah-yang-baharu-diketahui-petang-ini

Leave a Comment