ALOR SETAR – Sikap populis Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibimbangi tidak selari dengan langkah pemulihan ekonomi negara khususnya untuk berdepan krisis ekonomi dunia yang diramal berlaku tahun depan.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebagai ahli politik populis, Anwar seboleh-bolehnya akan menunaikan apa sahaja permintaan rakyat biarpun kedudukan kewangan negara belum kukuh sepenuhnya.
Menurutnya, Anwar harus mencari titik pertemuan antara dua pendekatan tersebut kerana sifat populis tidak sesuai diamalkan oleh sebuah kerajaan yang perlu berhemah dalam perbelanjaan.
“Petanda awal yang saya lihat agak membimbangkan, Anwar yang dikenali sebagai ahli politik populis akan cuba berikan apa sahaja yang rakyat mahukan. Namun dalam keadaan krisis ekonomi, adakah itu pendekatan terbaik?
“Antara tindakan populis beliau adalah mengumumkan cuti selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, tak ambil gaji perdana menteri walaupun ia contoh yang baik, tidak menggunakan kereta baharu, walaupun kesemua tindakan tersebut tidak akan beri kesan kepada kewangan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jitra bimbang apakah pendekatan populis Anwar itu dapat digunakan untuk menangani krisis ekonomi yang akan melanda negara tahun depan.
“Kebanyakan negara kini sedang memikirkan macam mana mahu berjimat, berhemah dalam berbelanja, macam mana untuk rancakan ekonomi termasuk kawal harga barang.
“Di United Kingdom, mereka sudah umumkan kemungkinan perlu ikat perut dan sebagainya. Namun ada juga pandangan mengatakan kerajaan perlu menguruskan ekonomi dengan pendekatan berbelanja lebih untuk rancakan ekonomi, bukan berjimat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mukhriz turut melahirkan kebimbangan berhubung hutang negara yang masih lagi sekitar RM1.4 trilion.
“Kerajaan ada duit tak? Hutang pun masih tinggi, kita tak boleh nak pinjam lagi. Tak tahulah kalau kerajaan baharu ini akan gunakan duit agensi kerajaan, KWSP atau Tabung Haji. Kalau itu pendekatannya, perlu betul-betul kawal jangan ada ketirisan seperti yang berlaku pada era BN dulu,” jelasnya.
Justeru, beliau berharap tindakan yang boleh membebankan rakyat tidak akan diulangi di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Apa sahaja pendekatan Anwar, kita tunggu dan lihat. Saya tidak terlalu kagum siapa yang tubuhkan kerajaan, dilantik perdana menteri sebab dalam era ini keadaan sangat mencabar terutama ekonomi.
“Baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19, akan berdepan krisis ekonomi pula. Banyak cabarannya, kita doakan Anwar boleh lakukan, bukan untuk diri beliau tetapi untuk negara,” katanya.
Mukhriz tegaskan, untuk menangani krisis-krisis besar seeloknya dilantik pakar-pakar dalam bidang berkaitan dan bukan atas tekanan politik daripada parti-parti yang bergabung kerana ia bukan jaminan untuk mengatasi pelbagai masalah.
“Tidak mengapa, berilah peluang kepada Anwar untuk buktikan kebolehan sebagai Perdana Menteri yang diidam-idamkan sejak sekian lama. Beri ruang untuk beliau buktikan mampu tangani masalah-masalah dalam negara termasuk krisis ekonomi,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya akan menimbulkan krisis baharu.
“Ada penganalisis mengatakan masalah akan timbul apabila Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, antara cabaran sekiranya kes mahkamah dikaitkan dengan beliau disabitkan selain pemilihan parti itu sekiranya ada desakan menolak beliau.
“Semua kemungkinan itu boleh mempengaruhi gabungan tersebut. Walaupun semua parti-parti yang sertai PRU15 menjanjikan kestabilan dalam manifesto mereka, namun apa yang dilihat sekarang tidak stabil, huru-hara lagi ada,” katanya.
Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/235520/berita/nasional/bimbang-sikap-populis-anwar-tak-selari-langkah-pulih-ekonomi