GAMBAR ATAS: MARIA SUDHAGA J K, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.
YANG di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional menghadap pada pagi Rabu (23 Nov).
Sesi menghadap baginda, yang dilakukan secara individu akan bermula pada pukul 10.30 pagi, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan pada Selasa (22 Nov).
Proses ini adalah langkah seterusnya selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa (22 Nov) pada pukul 4.30 petang tadi.
Beliau berkata Proses ini bertujuan supaya Yang di Pertuan Agong dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru dan menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu dan pelantikan perdana menteri ke-10 selesai.
-BTS Media