PENGUNDIAN untuk kerusi Parlimen Padang Serai yang sepatutnya diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seluruh negara esok (Sabtu 19 Nov) ditangguhkan berikutan kematian salah seorang calon yang bertanding.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah menetapkan hari pengundian bagi kawasan itu diadakan pada 7 Disember.
“Tarikh penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai adalah 24 November manakala undi awal pula 3 Disember,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 November sehingga pukul 11.59 malam, 6 Disember.
“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada hari ini (Jumaat) dan ditutup pada 22 November,” katanya.
Abdul Ghani berkata, Pegawai Daerah Kulim Abdul Bari Abdullah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu oleh enam penolong pengurus.
“Bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR),” katanya.
Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).
“Calon-calon yang layak sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.
“Bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon,” katanya.
Seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 47 buah dengan 232 tempat mengundi atau saluran,” katanya.
SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang di kemaskini sehingga 9 Oktober.
“Seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara,” katanya.
Menurut beliau, DPPR Padang Serai akan mula dijual pada 23 November.
“Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak,” katanya.
Calon PH, M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim, Kedah pada pukul 2.27 petang Rabu.
Pada PRU14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 memperoleh 31,724 undi telah menewaskan calon PAS dan BN dengan majoriti 8,813 undi.
-BTS Media