BTS Media

PN bina lebuh raya Johor-Selangor pesisir pantai baharu jika menang – Muhyiddin

Oleh Yusoff A. Shariff

JAJARAN lebuh raya merentasi kawasan pantai dari Selangor ke Johor Bahru bakal dibina sekiranya Perikatan Nasional (PN) diberi mandat menubuhkan kerajaan pada 19 November ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan memudahkan pergerakan orang ramai, khususnya pelancong ke Johor, dan sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Berucap pada majlis sembang santai bersama penduduk di Stulang Laut, Johor, beliau berkata agenda pembangunan itu boleh dilaksanakan jika PN memerintah.

Muhyiddin yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam politik negara berkata beliau melihat sendiri sekarang ini satu gelombang sokongan terhadap PN yang menggegarkan bermula di Perlis dan semakin menghampiri Johor Bahru.

“Jika PN memerintah kerajaan pusat dengan sokongan pengundi dan saya dilantik menjadi Perdana Menteri, mudahlah pembangunan dilaksanakan.

“Menteri Besar Johor sekarang daripada UMNO akan berjumpa saya dan memohon pelaksanaan projek pembinaan jalan. Tapi, kita (Perikatan Nasional) akan buat lebuh raya pesisir pantai dari Lembah Klang ke Johor jika menang,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini, menasihatkan pengundi Johor supaya tidak melakukan kesilapan ketika Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Beliau juga berjanji untuk menyelesaikan isu antara rakyat dengan kerajaan Johor pimpinan UMNO sekarang sekiranya, dengan sokongan pengundi, dapat membentuk kerajaan pusat.

Muhyiddin turut mengingatkan pengundi supaya membandingkan manifesto yang ditawarkan Perikatan Nasional dengan manifesto parti lain.

“Tawaran Perikatan Nasional lebih baik daripada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (PH),” katanya pada majlis yang turut dihadiri kaum Cina, termasuk peniaga.

Muhyiddin berkata tawaran PN termasuk memberi bantuan kepada peniaga, seperti moratorium pinjaman bank.

“Ia pernah dilakukan semasa kerajaan Perikatan Nasional memerintah sebelum ini ketika pandemik melanda. Malah, kerajaan juga memberi wang kepada syarikat untuk membayar gaji pekerja yang tidak dapat bekerja kerana sekatan Covid-19,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment