KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penyelamat kepada agenda pembangunan ekonomi Melayu dan pendidikan rakyat pelbagai kaum apabila mengembalikan semula peruntukan yang pernah dinafikan kerajaan terdahulu.
Muhyiddin berkata, semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), peruntukan sejumlah RM2 bilion kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang disediakan sebelum itu ditarik balik.
Bagaimanapun katanya, peruntukan tersebut berjaya dikembalikan dengan usaha dilakukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Kedua-dua agensi utama ini, waktu mana kita di dalam mesyuarat ditekan oleh Menteri Kewangan.
“Tetapi kemudiannya, kami wujudkan semula Teraju untuk menjamin kelangsungan masa depan bumiputera di negara kita. Ekuinas yang telah pun tertubuh oleh kerajaan terdahulu juga diberi peruntukan sebanyak RM2 bilion, tetapi peruntukan itu diambil balik.
PH seolah-olah tidak memberi perhatian kepada nasib bumiputera dalam pembangunan ekonomi
“Ini bermakna tidak menghormati agensi bumiputera yang ditubuhkan oleh kerajaan. Menerusi dua contoh ini seolah-olah PH tidak memberi perhatian kepada nasib bumiputera dalam pembangunan ekonomi di negara kita ini,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST Parlimen Tambun PN di Bandar Meru Raya, di sini pada malam Ahad.
Beliau berkata, hanya selepas Mohamed Azmin bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, barulah peruntukan RM2 bilion tersebut diserahkan semula dan dikekalkan.
Sementara itu, Muhyiddin turut mendedahkan kerajaan PN juga menyelamatkan pendidikan masyarakat Cina apabila memulangkan kembali peruntukan yang disediakan untuk Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebanyak RM300 juta.
Katanya, walaupun UTAR itu diwujudkan oleh MCA, namun tidak seharusnya peruntukan untuk pendidikan anak-anak ditarik balik.
“Hanya waktu mana PN yang saya pimpin sebagai Perdana Menteri, kita memulangkan balik peruntukan itu kerana ini peruntukan berkaitan pendidikan,” kata Muhyiddin.
Bukan lagi parti ‘underdog’
Dalam pada itu, Muhyiddin dalam catatan di Facebook pada Isnin berkata, gabungan di bawah PN bukan lagi parti underdog sebaliknya berpengaruh dengan sokongan rakyat terutama masyarakat Melayu.
Beliau telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang.
“Saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh.
“Marilah kita beramai-ramai memastikan sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk negeri ini keluar mengundi dan memenangkan Perak untuk PN.
Berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat rakyat
“Insya-Allah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” kata Muhyiddin dalam hantaran.
Beliau juga menegaskan, tawaran yang dikemukakan PN mendapat sambutan baik daripada kebanyakan penganalisis politik.
Jelas Muhyiddin, lahirnya PN adalah untuk memberikan tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.
“PN menawarkan tawaran yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan parti lain. PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai sokongan rakyat menjelang PRU15 ini, Muhyiddin mengingatkan kepada mereka untuk tidak tersalah dalam membuat pilihan.
“Tidak berapa lama lagi kita akan berdepan PRU15 dan rakyat perlu membuat pilihan yang tepat bagi memilih kerajaan terbaik untuk Malaysia,” ujar beliau.
Jelasnya, masih banyak lagi perkara buruk tidak sepatutnya berlaku jika pemimpin yang dipilih tidak berakhlak.