Oleh Zainal AS Rashid
PERIKATAN Nasional (PN) menampilkan beberapa calon muda berpotensi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pemangkin generasi itu bagi menyambut suara dan aspirasi mereka untuk negara.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam catatan Facebook semalam berkata, gabungan itu membariskan lima anak muda sebagai calon Parlimen kerana latar belakang dan pengalaman mereka yang luas.
Mengulas tentang calon PN bagi Parlimen Bangi, Muhammad Nazrul Hakim Nazir, 27, Muhyiddin berkata anak muda ini pernah mendapat kepercayaan Menteri Hal Ehwal Agama di bawah kabinet pimpinan beliau, iaitu Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai Pegawai Khas pada usia 25 tahun.
Selain itu, beliau berkata PN juga mencalonkan pengacara TV Al-Hijrah Nurul Fadzilah Kamaluddin, 33, untuk kerusi Parlimen Setiawangsa.
Nurul Fadzilah juga adalah peguam berkelulusan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Antara kualiti yang dianggap mampu mengimbangkan personaliti Muhammad Nazrul dan dan Nurul Fazilah termasuk telah menghafal 30 Juzuk Al-Quran.
Pemimpin muda ketiga dicalonkan ialah Lim Si Ching, 30, yang akan bertanding untuk kerusi Parlimen Damansara. Beliau adalah graduan Universiti Birmigham City, United Kingdom.
Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, 30, yang akan bertanding di Parlimen Balik Pulau, Pulau Pinang merupakan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang daripada Aberystwyth University, Wales, United Kingdom.
Calon muda kelima disenaraikan oleh Muhyiddin ialah Dr Siti Mastura Muhammad, 33, yang akan bertanding untuk kerusi P041 Kepala Batas.
“Pemegang ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam di Universiti Sains Malaysia (USM) ini boleh menjadi inspirasi kepada wanita muda,” katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, selain lima calon ini, PN turut menampilkan ramai lagi calon anak muda yang berwibawa.
-BTS Media