PERIKATAN Nasional (PN) antara yang berada paling hadapan selepas seminggu berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan gerak kerja parti itu di seluruh negara.
Gabungan politik itu, diikuti oleh Pakatan Harapan (PH) lebih menonjol berbanding Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) dari segi kaedah kempen secara bersemuka di lapangan mahupun melalui media sosial.
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, setakat minggu pertama kempen, PN sememangnya mendahului dengan gabungan itu dilihat lebih cekap beradaptasi dengan trend pengundi di dalam negara.
“Sebagai contoh, gelombang sekarang ini adalah kempen media sosial melalui TikTok. Mereka sangat efisien dan memanfaatkan segenap ruang untuk menyampaikan mesej mereka.
“Kandungan yang dihasilkan di platform tersebut turut diakui oleh responden yang kami temui,” katanya kepada Sinar Harian.
Hisommudin berkata, keupayaan jentera PN untuk menguasai platform sosial media popular dalam kalangan masyarakat itu dibantu juga dengan kekuatan kempen dilaksanakan secara fizikal, antaranya melalui perang bendera dan poster.
Keupayaan jentera PN menguasai media sosial media popular dalam kalangan masyarakat dibantu kekuatan kempen dilaksanakan secara bersemuka
Dalam pada itu, beliau berkata, berada di tempat kedua dalam kekuatan kempen adalah PH yang dilihat masih bergantung kepada jelajah ceramah bagi menarik sokongan pengundi.
“Mereka akan jadikan jelajah itu sebagai medan mendapat jumlah penyokong yang besar dan jumlah tontonan tinggi bagi tujuan untuk menunjukkan ia adalah kekuatan sokongan kepada mereka.
“Jelajah itu kemudiannya akan dikongsi di platform seperti Facebook dan YouTube tetapi bagi saya ia adalah medium lama. Saya nampak dalam aspek TikTok, bukan tidak ada tapi mereka agak ketinggalan,” ujarnya.
Menurut Hisommudin, walaupun PH berjaya mendapat lonjakan dalam capaiannya di media sosial melalui siaran langsung ceramah di media sosial, ia masih belum mencapai tahap yang diperoleh ketika PRU14.
Mengulas kempen BN pada PRU15, beliau berkata, gabungan itu dilihat tidak agresif dan seakan-akan hilang kawalan dalam menyusun gerak kerja dijalankan sejak hari penamaan calon pada 5 November lalu termasuk di kawasan majoriti Melayu.
“Jadi, mereka ketinggalan dalam aspek fizikal. Di media sosial pun mereka tenggelam. Saya rasa kemungkinan mereka berdepan masalah logistik kerana kita dapati jentera BN, misalnya bilik gerakan seperti tidak beroperasi sepenuhnya macam sebelum ini,” katanya.
Hisommudin berkata, kegagalan BN dan gabungan baharu seperti GTA untuk mencetuskan momentum baharu dalam kempen menjelang minggu terakhir bakal menyebabkan mereka kehilangan peluang menarik sokongan, khususnya daripada kumpulan pengundi atas pagar.
“Ini kerana apabila semakin menghampiri hari pengundian, kelompok yang tidak membuat keputusan ketika kajian kami lakukan, mereka akan ada pendirian akhirnya.
“Jadi, kelompok ini daripada peratusan yang besar makin lama makin mengecil.
“Bayangkan, dalam tempoh pengecilan kelompok bagi menentukan sikap ini, BN tidak memainkan peranan untuk menawarkan kempen dan calon mereka, jadi saya nampak jika terlalu lambat, mereka akan ketinggalan,” jelasnya.
Sentimen pengundi
Sementara itu, Pengarah Program Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, tinjauan dilakukan menjelang minggu terakhir mendapati sentimen pengundi adalah positif terhadap PH dan PN.
Menurutnya, selain menerima peningkatan sokongan daripada pengundi Melayu ke tahap lebih tinggi berbanding sebelum hari penamaan calon, PH didapati berjaya memperbaiki kecenderungan pengundi bukan Melayu untuk keluar mengundi.
“Jika keadaan ini kekal sehingga hari mengundi, kita berkemungkinan boleh lihat potensi PH untuk memenangi jumlah kerusi terbesar di Parlimen (berbanding gabungan lain),” katanya yang turut memaklumkan, peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap PH itu diperoleh dari kawasan negeri Pantai Barat, bandar dan separa bandar.
Menurut Ibrahim, peningkatan kecenderungan pengundi bukan Melayu yang menurut beliau agak ketara memihak kepada PH untuk keluar mengundi itu disebabkan kekhuatiran mereka terhadap kemungkinan wujudnya usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada hukuman penjara yang sedang dijalani.
Jelas beliau, turut menyumbang peningkatan sentimen untuk keluar mengundi kerana pengundi secara umumnya tidak berpuas hati dengan keadaan semasa ekonomi negara.
Bagi PN pula, katanya, gabungan itu dilihat sedang berjaya menembusi dan menarik sokongan pengundi Melayu.
Menurutnya, trend itu sekiranya berterusan bakal membolehkannya merampas lebih banyak kerusi daripada BN.
Tambahnya, peningkatan sokongan itu berkemungkinan dibantu oleh faktor gabungan itu yang dilihat sebagai parti alternatif boleh diharapkan bagi memperjuangkan agenda Melayu selain UMNO dan BN.
“BN berada dalam keadaan bahaya kerana masalah dalaman berterusan dan pengundi secara umum kurang yakin dengan pimpinan semasa,” katanya.
Baca lagi: https://premium.sinarharian.com.my/article/225579/fokus/semasa/siapa-lebih-ke-hadapan