BTS Media

Kerusi Parlimen Arau untuk Shahidan atas tiket Perikatan Nasional

Oleh Yusoff A. Shariff

PERIKATAN Nasional (PN) Perlis mengesahkan nama yang dikosongkan bagi kerusi Parlimen Arau adalah bagi memberikan laluan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mewakili gabungan itu pada Pilihan raya Umum ke-15.

Menurut pengerusi PN negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli, nama kerusi itu dikosongkan pada saat akhir sementara menunggu rundingan di peringkat pusat dimuktamadkan, lapor Sinar Harian.

Beliau mengaku ada rundingan dengan Shahidan baru-baru ini.

“Perkara ini tercetus selepas ura-ura beliau mungkin tidak dicalonkan oleh Barisan Nasional pada PRU15.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Perlis berkata, sebelum ini pihaknya telah mengemukakan nama calon untuk dipilih oleh pusat untuk kerusi Parlimen Arau yang dimiliki oleh PAS itu.

“Berdasarkan keadaan sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan kerana beliau adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami ialah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi pada PRU15,” katanya.

Mohd Shukri percaya bahawa penyokong akar umbi PAS menyokong keputusan ini.

Semalam (Selasa 1 Nov), Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon BN dan digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman.

-BTS Media

Leave a Comment