BTS Media

Selepas Arau, jentera pilihanraya BN Jempol pula lumpuh

SELEPAS Arau, Perlis kini jentera pilihan raya di Barisan Nasional (BN) Jempol pula lumpuh selepas penyandang kerusi Parlimen itu, Mohd Salim Mohd Sharif didakwa tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut Utusan Malaysia, sebanyak 40 pusat daerah pengundian (PDM) di kawasan Parlimen Jempol ditutup sejak malam tadi.

Setiausaha UMNO Bahagian Jempol, Muhamad Zamri Omar berkata, dia kecewa kerana nama yang dipilih sebagai calon Parlimen Jempol bukannya dari nama yang dipilih bahagian itu.

“Kami ada masa mendesak, kami berusaha ke arah itu lebih-lebih lagi Mohd Salim sememangnya sudah terbukti memberikan khidmat terbaik sepanjang satu penggal di bahagian ini.

“Kami bimbang, Parlimen Jempol ini yang sebelumnya merupakan kawasan putih bertukar menjadi kawasan kelabu, semua nak tutup bilik gerakan. Ini bukan ancaman, bukan bantahan, tapi kami mahu Ketua UMNO Bahagian Jempol kekal menjadi calon Parlimen ini,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua UMNO Cawangan Palong 16, Abdullah Ismail meminta pucuk pimpinan dapat mengekalkan Mohd Salim sebagai calon Parlimen Jempol kerana beliau baru sepenggal berkhidmat di kerusi itu.

Pada sidang media berkenaan, hampir 100 individu terdiri daripada Ketua PDM dan UMNO cawangan hadir menyatakan sokongan supaya Mohd Salim dapat dikekalkan.

Pada PRU14, Mohd Salim memenangi kerusi Parlimen Jempol dengan majoriti 1,631 undi menewaskan calon PKR dan PAS.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/01/jentera-pilihan-raya-bn-jempol-lumpuh-2/

Leave a Comment