BTS Media

PRU15: Beberapa menteri UMNO dalam kabinet Ismail Sabri akan digugurkan

Oleh Zainal AS Rashid

BEBERAPA menteri UMNO dalam Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digugurkan daripada senarai calon UMNO PRU15 yang akan diumumkan pada malam ini (Selasa 1 Nov).

Setakat ini, empat menteri dan seorang timbalan menteri telah digugurkan. Turut digugurkan tiga lagi ahli Parlimen UMNO yang telah lama berkhidmat.

Menurut sumber, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan mengambil peluang ini untuk kononnya membersihkan parti daripada semua yang tidak sehaluan dengannya.

Ini termasuk mereka yang menunjukkan ketegaran terhadap beliau sepanjang tahun lalu dengan memberikan sokongan penuh kepada naib presiden UMNO Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Dengan memecat mereka, menurut sumber itu lagi, akan membolehkan Ahmad Zahid lebih pasti hanya ahli parlimen orangnya akan dilantik sebagai anggota Kabinet dan jika perlu, meraih sokongan untuk bekas timbalan menteri itu mendapat undi yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri akan datang.

Menteri-menteri yang berkemungkinan dicantas apabila Ahmad Zahid mengumumkan senarai calon UMNO pada hari ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mereka merupakan penyandang kerusi parlimen Arau (Perlis), Ketereh (Kelantan), Kota Tinggi dan Tenggara di Johor.

Nama-nama besar lain yang bakal digugurkan ialah Ahli Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Ahli Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Mastura Mohd Yazid.

Walaupun Shahidan secara terbuka mengumumkan pada 31 Okt bahawa beliau digugurkan, dan menyifatkannya sebagai “malam paling menyedihkan”, lalu mengumumkan penutupan semua bilik gerakan BN di kawasannya, Annuar pula dikatakan masih menaruh harapan.

Dalam catatan Facebook pada Isnin (31 Okt), beliau menyatakan bahawa beliau mendengar ramai telah dipecat, terutama mereka yang rapat dengan Perdana Menteri”.

Beliau, bagaimanapun, nampaknya berharap akan ada perubahan dalam kalangan lima pemimpin tertinggi UMNO, yang membuat keputusan mengenai pencalonan.

-BTS Media

Leave a Comment