Oleh Feste KR
TOYOTA Motor Corp kini dilaporkan terpaksa kembali kepada penggunaan kunci bagi model-model kereta keluaran syarikat itu kerana masalah bekalan cip.
Syarikat itu pada Khamis berkata ia akan menggantikan satu daripada dua kunci “pintar” elektronik dengan kunci mekanikal buat masa ini untuk memenuhi permintaan pelanggan di Jepun.
“Memandangkan kekurangan berterusan semikonduktor, ia adalah langkah sementara dalam usaha untuk menghantar kereta kepada pelanggan secepat mungkin,” kata Toyota dalam satu kenyataan.
“Bagi kunci pintar kedua, kami merancang untuk menyerahkannya sebaik sahaja ia siap,” tambahnya.
Kekurangan bekalan cip global telah menyebabkan kelewatan serius pengeluaran dan penghantaran kereta, dengan ramai pembeli terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya.
Operasi pengeluaran kereta Toyota terjejas teruk tahun ini berikutan bencana dan masalah lain.
Minggu lalu, syarikat itu memberi amaran bahawa ia mungkin tidak akan dapat mengeluarkan 9.7 juta kenderaan yang diramalkan sebelum ini.
-BTS Media