Oleh Zainal AS Rashid
GABUNGAN Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) mengutuk kekerasan dan aktiviti samseng dalam kekecohan dicetuskan sekumpulan pemuda pada majlis dianjurkan MUDA, di Muar, malam tadi.
Katanya, tindakan itu tidak boleh diterima dan tidak perlu bertolak ansur dalam menanganinya kerana bertentangan dengan budaya pilihan raya “bersih dan bebas” di negara ini.
“Tindakan seperti itu merupakan bentuk kempen negatif dan provokasi melampau. Pilihan raya adalah untuk parti bertanding berasaskan idea, dasar, manifesto dan langkah membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Malam tadi, majlis makan malam yang dianjurkan oleh parti MUDA di Dewan Yong Shen, Muar, menjadi kecoh apabila diganggu oleh kira-kira 30 individu yang bertindak membaling botol dan mercun ke arah hadirin.
Menurut Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, keadaan menjadi terkawal dengan kehadiran anggota polis.
Dalam kejadian itu, beberapa individu, termasuk Ketua MUDA Sabah Amos Thien, tercedera apabila mercun yang dilontar ke arah mereka menyebabkan kakinya melecur.
Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan kejadian kira-kira pukul 9.35 malam itu dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
Dalam pada itu, BERSIH menggesa semua rakyat Malaysia yang mahukan perjalanan kempen pilihan raya yang sihat supaya mengutuk sekeras-kerasnya dan menolak perbuatan ganas dan samseng.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, tetapi juga mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan. Jika didapati bersalah pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Kejadian malam tadi merupakan kali kedua seumpamanya berlaku di Muar membabitkan sekumpulan individu melakukan kekecohan. Pada 17 Okt, sekumpulan individu bermotosikal mengganggu hadirin dengan menjerit, membuat bising menggunakan motosikal bagi tujuan mengganggu ucapan Syed Saddiq.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa meminta supaya tindakan itu dihentikan dan memberi peluang kepada anak muda berpolitik secara aman.
“Perbezaan pandangan tidak perlu diterjemahkan dengan kekerasan dan provokasi melampau,” katanya melalui satu tweet.
-BTS Media