MESYUARAT Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) pada Khamis (6 Okt) bersetuju semua jentera pilihan raya parti komponen di setiap peringkat menggunakan nama gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden PN dan Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita bersetuju di peringkat PN agar semua jentera (parti komponen) di semua peringkat bergerak atas nama PN, maknanya gabungan parti-parti iaitu Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah AirKu (STAR). Itu yang telah kita tetapkan,” katanya kepada media selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, dua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Muhyiddin juga berkata, mesyuarat Majlis Presiden PN turut bersetuju meneruskan Program Jelajah Prihatin bagi memberikan penerangan terperinci tentang pandangan gabungan itu berhubung isu semasa.
“Ini termasuklah tentang apa yang kita nak masukkan dalam manifesto kita dan apa yang kita nak sediakan… tumpuan kepada soal isu rakyat, rakyat kita mahu utamakan.
“Selain itu, Program Gerai Prihatin juga diteruskan untuk bantu rakyat menghadapi masalah besar seperti kos sara hidup tinggi, inflasi dan sebagainya… kita sudah mulakan dibanyak negeri dan kita akan beri tumpuan dalam masa terdekat supaya kawasan-kawasan yang memerlukan bantuan, dapat dibantu,” katanya.
-BTS Media