BTS Media

Peranan MPN penting bantu kerajaan dalam usaha pemulihan negara

PERANAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati berkesan menjalan peranan dengan menyediakan cadangan bagi pelaksanaan pelbagai tindakan kerajaan.

Menurut anggota MPN DR Hartini Zainuddin, oleh itu gesaan supaya dibubarkan majlis itu akan merugikan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.

“KPI (petunjuk prestasi utama) MPN adalah untuk memastikan kami melakukan terbaik dalam melengkapkan inisiatif lain yang dilakukan oleh kerajaan. Semua orang mempunyai peranan yang dilaksanakan dan semua orang bekerja untuk memastikan kita pulih lebih cepat.

“Kami membuat cadangan bila sempadan perlu dibuka, kami melihat kepentingan aspek pelancongan, ekonomi dan banyak perkara lain. Kami membahagikan tumpuan kepada teras utama dalam ekonomi, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya pada sidang media semalam (Sabtu 1 Oktober).

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya MPN dibubarkan kerana didakwa konon fungsinya tidak jelas.

Beliau turut mendakwa fungsi MPN bertindih dengan fungsi badan pemikir dan agensi kerajaan lain yang bertindak sebagai penasihat serta pelaksana.

Menurut Hartini, usaha pemulihan negara selepas pandemik Covid-19 dijangka mengambil masa selama 10 tahun dan ia akan menjadi sukar jika bergantung pada hanya satu pihak.

Hartini yang juga aktivis kanak-kanak dan pengasas bersama Yayasan Chow Kit berkata, perkara itu perlu diberi tumpuan, khususnya memandangkan ramai rakyat dalam kategori B40 yang terkesan oleh inflasi dan Covid-19 kini tergolong dalam kategori B60.

“Berikutan syor Mesyuarat MPN pada 2021, Yayasan Hasanah bekerjasama dengan Yayasan Chow Kit bagi memberi bantuan kecemasan (makanan) kepada mereka yang memerlukan dengan bantuan empat NGO, antaranya Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Yayasan Sejahtera.

“Setakat ini, kami sudah beri 7,600 isi rumah bekalan makanan pada fasa 1 dan pada penghujung Oktober terdapat 8,000 lagi isi rumah dalam fasa 2. Jadi kira-kira 15,000 isi rumah yang sudah kita beri makanan berdasarkan peruntukan, namun ia masih belum mencukupi,” katanya.

Beliau akan mengemukakan cadangan lanjutan bagi memperkasakan inisiatif keselamatan sosial dan kebajikan golongan rentan pada mesyuarat MPN yang dijangka diadakan bulan ini.

Sesi pembentangan itu, katanya, juga akan memberi tumpuan kepada cadangan bantuan makanan, perlindungan kanak-kanak dan keselamatan mental yang dianggap semasa fasa peralihan ke endemik masa ini.

-BTS Media

Leave a Comment