Oleh Fetty Rara
Dakwaan kononnya MPN tidak berkesan sekadar muslihat politik
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (NRC) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa majlis itu tidak berkesan dalam menangani isu yang dihadapi rakyat.
Dalam menolak dakwaan itu sebagai muslihat politik semata-mata, beliau berkata NRC tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk bertindak sebagai kementerian atau agensi, tetapi ia memberi nasihat kepada kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah yang perlu.
Beliau berkata sama ada gagal atau tidak, ini bergantung kepada kerajaan dan terpulang kepada rakyat untuk menilai sejauh mana peranan yang dimainkan majlis dalam membantu kerajaan dan Jemaah Menteri membuat keputusan berkaitan pemulihan ekonomi dan sosial negara.
“Majlis beri nasihat, kalau kerajaan rasa cadangan kita bagus, kita akan teruskan. Tapi saya faham proses pemulihan bukan mudah.”
“Jika ada perkara baharu yang tidak disenaraikan dan ia penting, kami akan maklumkan kepada kerajaan.”
“Oleh itu, saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang apabila ahli politik membuat kenyataan, ada muslihat politik di sebaliknya,” katanya.
Beliau memberitahu media demikian selepas merasmikan pelancaran Perikatan Nasional Negeri Kelantan di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu (2 Julai).
Sebelum ini, media melaporkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata NRC sejak awal lagi tidak mencapai keputusan yang diinginkan dan hanya berkhidmat sebagai penasihat kerajaan.
Muhyiddin berkata pelbagai usaha telah dilakukan oleh NRC termasuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memudahkan pembukaan sektor ekonomi, sosial dan keagamaan.
“Malah, saya di sini (sebagai pengerusi NRC) bukan sahaja untuk membantu kerajaan, tetapi pendirian saya ialah apa sahaja keputusan yang kita ingin usulkan kepada kerajaan mungkin tidak semestinya mengikut dasar kerajaan sedia ada,” katanya.
– BTS Media