Oleh Zainal AS Rashid
SAMBIL meluahkan rasa tidak senang kerana hanya 16 daripada 95 cadangan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilaksanakan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penangguhan berpanjangan oleh kerajaan “tidak boleh diterima.”
Oleh itu, pengerusi MPN itu mencadangkan supaya ia memberi laluan kepada sebuah Kementerian Pemulihan Negara supaya kerajaan mengambil serius segala cadangan.
Beliau berkata nampaknya tidak ada kesungguhan politik untuk menerima pakai segala idea yang dikemukakan oleh MPN, sambil menambah bahawa sikap begitu hanya akan merugikan rakyat dan negara.
Muhyiddin berkata MPN telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya, melalui mesyuarat setiap bulan dan mengemukakan pelbagai cadangan daripada pakar.
Beliau memberitahu media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN selama empat jam di Kementerian Kewangan pada Selasa (27 Sept) bahawa jika ditanya mengapa beliau tidak melakukan apa-apa (seperti yang didakwa), jawapannya ialah bahawa pelaksanaan bukan sebahagian daripada tugas beliau.
Tegas beliau lagi, segala yang dicadangkan bukannya syor sendiri, tetapi cadangan majlis yang dianggotai oleh menteri Kabinet, ahli ekonomi, pakar dalam semua bidang, termasuk pihak pembangkang.
Bekas perdana menteri yang juga pengerusi Perikatan Nasional itu turut melahirkan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi global sekarang, yang menurutnya terus memberikan kesan negatif kepada negara.
-BTS Media