BTS Media

Kenyataan Tengku Zafrul semakin berbaur politik, dakwa Kadir Jasin

WARTAWAN veteran, A Kadir Jasin mendakwa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz semakin mengutamakan hal ehwal politik dalam kenyataannya berkaitan ekonomi dan kewangan negara.

Beliau mendakwa, penglibatan Tengku Zafrul dalam politik yang semakin aktif sejak akhir-akhir, terutama sejak dilantik bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor Julai lalu dilihat mempengaruhi kenyataannya.

Kadir juga mempersoalkan kenyataan Tengku Zafrul sebelum ini yang mengatakan kerajaan tidak akan “terlalu fokus” kepada prestasi ringgit sebaliknya akan terus beri tumpuan kepada prestasi ekonomi jangka sederhana dan panjang.

“Nampak seolah-olah dia nak lari daripada realiti atau cuba remehkan sesuatu yang pokok kepada ekonomi negara iaitu kadar tukaran ringgit yang jatuh merudum,” katanya di Facebook.

Beliau turut mempersoalkan langkah kerajaan dan Bank Negara (BNM) berhubung kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) beberapa kali sejak Mei, yang dilihat masih belum menunjukkan hasil diharapkan.

Kadir berkata, tindakan kerajaan menaikkan kadar faedah sepatutnya dapat memastikan nilai tukaran ringgit meningkat bagi menarik minat pelabur asing selain meredakan inflasi.

“Sebaliknya, pelabur asing lebih banyak jual daripada beli. Indeks komposit jatuh daripada 1,543.11 mata pada 3 Jan lalu kepada 1,451.52 semalam.

“Tapi kadar faedah yang tinggi boleh sebabkan inflasi naik lagi-lagilah apabila nilai ringgit jatuh. Kemerosotan nilai ringgit secara automatik sebabkan inflasi import naik,” katanya.

Sabtu lalu, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak campur tangan dalam urusan menentukan OPR selain beliau tidak mengetahui sama ada OPR akan dinaikkan lagi memandangkan keputusan itu hanya ditentukan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM.

Baca lagi: https://www.msn.com/en-my/news/berita/kenyataan-tengku-zafrul-semakin-berbaur-politik-dakwa-kadir-jasin/ar-AA121qBL?ocid=msedgntp&cvid=91c3dde9052349518dfef5873c57d056

Leave a Comment